Rabu, 8 Disember 2021

Tiada bas bawa penyokong Najib di mahkamah

 

Bayang penyokong Datuk Seri Najib Razak tidak kelihatan di perkarangan istana Kehakiman pagi ini seperti kebiasaan sebelum ini.

Mahkamah Rayuan hari ini membuat keputusan bersabit permohonan rayuan Najib dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Tiada bas atau kenderaan membawa penyokong Najib ke mahkamah, sebaliknya hanya dipenuhi media tempatan dan asing.

Walaupun tiada penyokong yang hadir memberikan sokongan, perkarangan mahkamah pada kedua belah pintu masuk tetap dikawal ketat oleh pengawal keselamatan dan polis bantuan mahkamah.

Hampir 100 wartawan dan jurugambar media tempatan dan asing dibenarkan mengikuti prosiding yang dijalankan secara hibrid.

Pasukan pendakwaan dan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan akan menghadiri prosiding secara fizikal manakala Najib dan pasukan peguamnya menyertai prosiding melalui aplikasi Zoom daripada rumah masing-masing.

Ia berikutan mereka tidak dibenarkan berada di mahkamah kerana status MySejahtera bertukar kuning berikutan salah seorang peguam disahkan positif Covid-19.

Selepas tujuh bulan mendengar rayuan Najib yang mengemukakan 307 alasan kenapa dirinya tidak patut didapati bersalah terhadap kesemua tujuh tuduhan, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera memberikan keputusan mereka.

Dalam keputusan pagi ini, Najib kekal didapati bersalah bersabit kes pertuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRCInternational Sdn. Bhd. selepas rayuannya ditolak pagi ini.

Panel tiga Hakim membuat keputusan menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu selepas mendapati permohonan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Tiada ulasan: