MALAYSIA POST
BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan membuat keputusan mengenai kedudukannya sebagai Ahli Parlimen apabila tiba masanya kelak.
Menurutnya, terdapat beberapa pertimbangan yang perlu dibuat susulan sabitan dan hukuman oleh Mahkamah Tinggi serta Mahkamah Rayuan berhubung kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) dihadapinya.
“Mengenai perkara itu (bertanding dalam pilihan raya) saya ingin katakan, kita akan membuat keputusan apabila tiba masanya.
“Ini kerana pertamanya pilihan raya umum kita tidak tahu bila.
“Ada pertimbangan politik yang perlu dibuat dan juga pertimbangan peribadi,” katanya dalam sidang media secara maya, hari ini.
Beliau ditanya oleh wartawan mengenai sama ada boleh bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan datang sekira rayuannya di Mahkamah Persekutuan masih belum diputuskan.
Terdahulu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil yang bersidang bersama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera membenarkan hukuman Najib ditangguhkan bagi menunggu rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Ketiga-tiga hakim berkenaan sebelum itu sebulat suara memutuskan untuk mengekalkan sabitan salah dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dibuat Mahkamah Tinggi sekaligus menolak rayuan bekas Najib. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan