Rabu, 8 Disember 2021

Najib kekal didapati bersalah, hukuman penjara kekal


Datuk Seri Najib Razak kekal didapati bersalah bersabit kes pertuduhan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. selepas rayuannya ditolak pagi ini.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan membuat keputusan menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu selepas mendapati permohonan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Keputusan sebulat suara dibuat panel tiga Hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Tujuh pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib membabitkan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana syarikat itu.

Dalam penghakiman yang dibacakan, mahkamah antara lain menyatakan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali adalah selamat dan tidak perlu diubah.

Peguam bela, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah sedang mengemukakan permohonan agar hukuman penjara dan denda tersebut ditangguhkan kerana mereka ingin mengemukakan rayuan.

Tiada ulasan: