PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini memberi kata dua terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan barisan pembelaannya: Prosiding secara zoom atau hadapi kemungkinan akan dipenjara.
Arahan tersebut dikeluarkan panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera selepas pembelaan yang diwakili peguam, Harvinder Singh Sidhu memohon agar prosiding tersebut ditangguhkan.
“Kami tidak berpuas hati sebab perayu (Najib) sendiri tidak berminat dan tidak menunjukkan sebarang minat untuk hadir pada prosiding ini. Beliau hanya kontak kasual dan itupun kontak kasual (Tan Sri) Muhammad Shafee bukannya Muhammad Farhan.
“Saya nak permohonan ini didengar secara online. Jadi kami akan beri masa kepada pihak-pihak untuk persediaan. Gagal berbuat demikian, kami (mahkamah) akan buat keputusan sewajarnya,” tegas Hakim Abdul Karim.
Terdahulu, Harvinder memohon agar prosiding itu ditangguhkan kerana kesemua peguam yang terlibat dengan prosiding hari ini menjadi kontak kasual selepas salah seorang peguam, Muhammad Farhan Muhammad Shafee positif Covid-19 selepas menghadiri satu majlis bersama keluarga dan rakan rapat, Sabtu lalu.
Majlis yang sama turut dihadiri Muhammad Shafee Abdullah yang mana selepas ujian kendiri dijalankan, beliau negatif. Peguam-peguam lain di dalam pasukan pembelaan yang menjalani ujian kendiri juga didapati negatif.
Terdahulu, panel terbabit menegaskan bahawa Mahkamah Rayuan bukanlah kedai kopi datau mahkamah air liur dan pihak-pihak terlibat perlu menghormati dan mengikut masa yang diberikan oleh Mahkamah.
“Mahkamah berikan dua pilihan. Yang pertama mahkamah boleh batalkan jaminan dan beri tunjuk sebab kepada penjamin dan penjamin kena beri sebab kenapa wang jamin tidak boleh dilucut hak. Disebabkan jaminan batal, kami akan keluarkan waran tangkap dan Datuk Seri Najib akan ditangkap serta merta dan dibawa terus ke mahkamah.
“Pilihan kedua, kami boleh mengarahkan permohonan (memasukkan bukti baharu) dijalankan secara online mengikut Seksyen 15 Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (CoJA) 1964. Kalau online, kita cukup selamat. Kita dah buat prosiding dengan pihak-pihak yang berada di Jepun, Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis .. inikan di Malaysia.
“Agak menghairakan kalau pihak berkata tak boleh jalankan prosiding secara online,”tegas Hakim Abdul Karim.
Pada prosiding sama, salah seorang penjamin Najib, Faizal Shamsuddin turut ditempelak oleh mahkamah kerana gagal memastikan kehadiran Najib ke mahkamah. Seorang lagi penjamin Najib masih belum tiba di mahkamah ketika prosiding berjalan.
“Mana penjamin lagi seorang? Dalam perjalanan? Mahkamah mula pukul 9 pagi, datang ikut suka hati?
“Mana Datuk Seri Najib? Mana Datuk Seri Najib? Tanggungjawab sebagai penjamin ini berat, kena tentukan orang yang dijamin hadir apabila diperlukan hadir. Ada ambil tahu kenapa Datuk Seri Najib tak hadir? Sebagai penjamin kena ambil tahu.
“Mana Datuk Seri Najib? Pavillion? Pavillion tu rumah dia? Awak telefon dia tanya ke atau awak tembak sahaja? Jangan main tembak, main agak sahaja, ini mahkamah bukan kedai kopi,” tegas Hakim Abdul Karim.
Tidak sampai beberapa minit, Hakim Has Zanah menyedari bahawa penjamin yang berdiri di sebelah kandang saksi itu membuat rakaman.
“Awak rakam ke? Ini mahkamah mana boleh buat rakaman, delete (padam)! Awak hantar pada siapa?,”soal hakim itu.
Pada ketika itu, jurubahasa mahkamah dan beberapa anggota polis dilihat menghampiri penjamin berkenaan dan memeriksa telefon bimbit lelaki berkenaan.
Pada ketika ini, prosiding berhenti seketika sementara persediaan
untuk prosiding dijalankan secara zoom dilakukan. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan