Ahad, 12 Disember 2021

Persenda OKU: Polis ambil keterangan 5 individu

BH ONLINE

- Foto hiasan
- Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengambil keterangan dua lelaki dan tiga wanita hari ini bagi membantu siasatan kes mempersendakan golongan orang kurang upaya (OKU) serta menyalahgunakan kemudahan golongan itu yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai, berkata semua mereka berusia lingkungan 30-an memberi keterangan kira-kira jam 2 petang tadi di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini.

"Semua mereka yang terbabit dalam dua video tular secara berasingan selesai memberi keterangan jam 8 malam tadi, termasuk seorang wanita yang bertindak merakam video itu," katanya yang dihubungi Bernama hari ini.

Rabu lalu, tular dua video masing-masing memaparkan tindakan dua lelaki berlagak sebagai OKU dan mempersendakan tempat letak kereta OKU di sebuah pusat beli-belah di ibu kota.

Sementara satu lagi video memaparkan dua wanita bertindak menyalahgunakan tandas OKU di sebuah stesen minyak selain bertindak mengajuk perbuatan seolah-olah mereka adalah OKU fizikal yang tempang.

Sebelum ini, Presiden OKU Sentral, Senator Datuk Ras Adiba Radzi membuat laporan polis terhadap beberapa individu yang menyalahgunakan kemudahan yang dikhaskan untuk golongan OKU. - BERNAMA

Tiada ulasan: