Ahad, 12 Disember 2021

Dua rakan ditahan bawa senjata ke Pulau Besar

Antara senjata termasuk keris dan pedang yang dirampas polis daripada dua individu di Pulau Besar, Khamis lalu. - Foto ihsan Polis
Antara senjata termasuk keris dan pedang yang dirampas polis daripada dua individu di Pulau Besar, Khamis lalu. - Foto ihsan Polis

MELAKA: Polis menahan dua rakan, termasuk seorang wanita selepas didapati membawa pelbagai jenis senjata antaranya keris ke Pulau Besar di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, berkata lelaki dan wanita berusia 45 dan 41 tahun itu ditahan anggota pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kira-kira jam 11 pagi Khamis lalu.

Katanya, pasukan pemantau yang melakukan penugasan di Pulau Besar mendapati terdapat sekumpulan lima individu sedang berkumpul, sebelum menghampiri mereka untuk melakukan pemeriksaan.

"Pemeriksaan ke atas lima individu, termasuk dua wanita itu menemui sebilah pedang, dua bilah parang dan lima keris.

"Susulan itu polis menahan masing-masing seorang lelaki dan wanita yang juga pemilik kepada semua senjata terbabit, manakala tiga lagi individu dibebaskan sejurus selesai dokumentasi," katanya.

Beliau berkata, hasil soal siasat semua individu berkenaan terbabit dengan ilmu persilatan dan mereka mendakwa memilih Pulau Besar sebagai lokasi untuk merakam video.

"Difahamkan, kedua-dua mereka itu mempunyai sijil persilatan dan mendakwa senjata dibawa ke Pulau Besar untuk membuat video dan dimuat naik ke aplikasi Tik Tok," katanya.

Christopher berkata, kedua-dua individu itu disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berjadual 1958.

"Sebarang senjata yang tersenarai di bawah Jadual Kedua Akta di atas adalah tidak dibenarkan sama sekali untuk dibawa ke tempat awam tanpa sebarang kebenaran," katanya.

Tiada ulasan: