Ahad, 5 Disember 2021

Penamat riwayat yang sangat tragis

 KHAIRIYAH HANAFI, WARTAWAN EKSEKUTIF

Gambar hiasan

TERKESAN apabila membaca kisah seorang lelaki yang mening­galkan kenderaannya sebelum terjun di Sungai Klang kelmarin.

Biarpun tidak tahu punca sebenar tindakan tersebut diambil, namun melihatkan situasi semasa,­ penulis akui masyarakat hari ini kebanyakannya hidup dalam keadaan tertekan.

Tambahan pula, kes terjun sungai seperti ini bukanlah satu perkara baharu yang dilaporkan di negara ini. Ia seakan sudah menjadi trend masyarakat hari ini yang menjadikan sungai serta jambatan sebagai lokasi untuk ‘menamatkan’ riwayat hidup masing-masing.

Di Pulau Pinang misalnya, Jambatan Pulau Pinang sering menjadi lokasi bunuh diri. Buktinya, pada tahun 2014 sahaja, lapan individu telah terjun dari jambatan tersebut dan empat kes percubaan yang lain berjaya digagalkan.

Laporan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mendedahkan, lebih 703,000 kes kematian bunuh diri dilaporkan setiap tahun di seluruh dunia dengan secara purata satu kes bunuh diri bagi setiap 40 saat.

Berdasarkan World Health Rankings, Malaysia yang menduduki tangga ke-129 bagi statistik bunuh diri dengan 6.17 peratus dilihat masih ‘terkawal’.

Namun, gejala ini wajar dipandang serius supaya tiada lagi insiden bunuh diri baik dari jambatan, bangunanan dan lain-lain lagi dilaporkan. Menurut Ketua Jaringan Industri dan Komuniti di Fakulti Pe­ngajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Rosmawati­ Mohamad­ Rasit, membunuh diri akibat tekanan dan masalah yang terlalu banyak bukanlah penyelesaian terutamanya kepada setiap Muslim yang beriman.

“Membunuh diri merupakan dosa besar yang dilarang oleh Islam. Hukum membunuh diri adalah haram di sisi Islam walau apa sebab sekalipun. Tindakan mengambil nyawa sendiri ini adalah sesuatu yang bertenta­ngan dengan syarak.

“Bahkan dalam Islam, bukan sahaja membunuh diri itu haram, malah jika terdetik untuk membunuh diri sebagai jalan mudah untuk keluar dari segala tekanan hidup, kesukaran, kesempitan dan kemiskinan juga adalah menjadi dosa besar,” jelasnya

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah sendiri mengambil maklum bunuh diri merupakan antara 10 penyebab utama kematian di dunia dan penyebab keempat kematian bagi mereka yang ber­umur 15 hingga 29 tahun.

Katanya, faktor sosial yang mengakibatkan tekanan terlampau seperti hilang pekerjaan atau sumber pendapatan berisiko tinggi menjadi penyebab kepada masalah kesihatan mental termasuk kemurungan.

Pengarah Publisiti Befrienders KL, Ardy Ayadali pula berkata, apabila seseorang mengambil keputusan membunuh diri, faktor yang menyebabkan mereka mengambil jalan tersebut jarang sekali disebabkan satu punca.

“Kebiasaannya ada banyak faktor yang mendorong mereka bertindak demikian. Kesakitan emosi yang mereka lalui akan mengaburi minda dan apa yang mereka inginkan adalah untuk mengakhiri penderitaan itu.

“Bunuh diri boleh dicegah, tetapi ia bukanlah sesuatu yang mudah dan perlu dilakukan secara kolektif oleh segenap lapisan masyarakat,” katanya.

Bukan apa, bimbang pula situa­si di negara ini akan berlaku sama seperti di Korea Selatan sehingga Jambatan Mapo yang po­pular di label sebagai The Bridge of Death hanya kerana menjadi sasaran individu untuk membunuh diri.

Tiada ulasan: