GEORGE TOWN – Pemuda yang menderita akibat penyakit kaki gajah atau lymphatic filariasis bersyukur apabila banyak pihak menghubunginya meluahkan rasa simpati selain mahu membantu dari segi kewangan.
Biarpun malu dengan perhatian yang diberikan, namun Mohd. Safuan Ishak, 32, menyifatkan ia sebagai pembakar semangat untuk dia terus kuat mendepani cabaran dengan kaki seberat 50 kilogram (kg).
Menurutnya, rata-rata yang menghubunginya termasuk mengirimkan khidmat pesanan ringkas bertanyakan mengenai penyakit dan bantuan yang diperlukannya.
“Sejak pagi saya tidak henti-henti menerima panggilan dan mesej selepas berita mengenai diri ini dipaparkan media. Mereka mahu saya berkongsi nombor akaun untuk menghulurkan bantuan.
“Ada juga individu yang mahu menawarkan produk kesihatan keluaran mereka tidak kurang juga mahu membantu berubat dari jauh.
“Tidak sangka ramai yang prihatin dengan nasib saya. Sebelum ini memang berat hati dan berasa malu untuk meminta bantuan, lebih-lebih lagi apabila keadaan kaki saya semakin membesar,” katanya di sini semalam.
Kosmo! semalam melaporkan, Mohd. Safuan sengsara sejak 15 tahun lalu dengan penyakit kaki gajah yang dikesan sejak lahir.
Keadaan kaki kirinya yang membesar dengan anggaran berat 50kg itu menyebabkan tahap kesihatannya semakin merosot.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali memberitahu, pihaknya kini dalam proses mempertimbangkan permohonan bantuan sara hidup kepada Mohd. Safuan.
“Bantuan kewangan sara hidup bulanan bernilai RM300 dan bantuan kewangan secara one-off bernilai RM600 sedang dalam proses,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Mohd. Safuan di talian 017-552 5459.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan