Oleh KOSMO!
PETALING JAYA – Keunikan bahasa Melayu-Siam di beberapa wilayah di Selatan Thailand sering sahaja mendapat perhatian ramai.
Bahasa Melayu yang dicampur dialek Kelantan dan Siam menjadi bahasa utama percakapan masyarakat di tiga wilayah termasuk, Yala, Patani dan Narathiwat.
Keunikan dialek itu bukan sahaja menjadi bahasa harian malah turut dibawa ke siaran langsung berita di saluran televisyen tempatan di Yala dikenali NBT Yala.
Menerusi satu tayangan siaran langsung stesen NBT Yala yang dikongsi melalui laman sosial Facebook menyaksikan satu lagi keunikan cara penyampaian berita oleh dua penyampai mereka.
Kedua-dua penyampai lelaki dan wanita itu dilihat secara bersahaja menggunakan dialek mereka dan cara penyampaian mereka berdua ibarat percakapan ‘laki bini’ di rumah.
Paling menarik apabila mereka berdua menyampaikan berita mengenai isu harga barangan dapur seperti sayur yang meningkat di Yala ketika ini.
“Dah sayur pakat naik harga habis, molek kita tanam sendiri di belakang rumah,” jelas penyampai lelaki itu.
“Memang molek buat macam tu, harga sayur di atas pasar dengan pasar malam sekarang naik serak-serak (mendadak),” jawab penyampai wanita.
Cara penyampaian yang dilakukan oleh kedua-dua penyampai itu turut menarik minat orang ramai di Malaysia, ada yang menyifatkan cara mereka berdua itu cukup bersahaja.
“Macam mak ayah aku mereka bercakap tambah pula isu harga barang naik ni. Mana dia peduli kerajaan ke tidak. Menarikkan kalau ada juga stesen kita buat sama,” jelas Izwan Ez.
“Ini bersembang laki bini ni, lucu aku tengok, tapi tak ada pun ‘control’ macam penyampai lain. Bagi aku hebat,” kata Paksu Irfan. – K! ONLINE.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan