Selasa, 7 Disember 2021

Pemimpin UMNO berjuang isu tanah Kampung Baru hilang membisu?


Pemimpin UMNO yang lantang memperjuangkan isu tanah di Kampung Baru kini diam membisu dalam isu melibatkan penduduk flat disitu yang diarahkan berpindah dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah baru-baru ini.

Lebih malang lagi, penduduk hanya diberikan pampasan RM400 sekaki persegi walhal sebelum ini terdapat pemimpin UMNO yang membantah nilai tersebut sebagai terlalu rendah dan ia sepatutnya lebih tinggi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen (MP) UMNO membidas kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menawarkan pampasan RM1,000 sekaki persegi tetapi selepas menjadi dominan dalam kerajaan pusat, lain pula ceritanya.

Pada Julai 2021 lalu, penduduk di Kampung Sungai Baru, Kampung Baru mula menerima surat Warta Seksyen 8, Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memaksa mereka keluar dari tanah itu dengan pampasan.

Menurut laporan, pada 0g0s 2021 pula, tuan tanah yang terlibat diwajibkan menghadiri perbicaraan pertama pengambilan tanah dalam bulan itu juga.

Beberapa penduduk juga menunjukkan bukti surat warta kepada media berhubung arahan ke perbicaraan dan arahan keluar dari tanah mereka itu.

Persoalannya, mengapa begitu tergesa-gesa langkah pengambilan tanah ini dilaksanakan, malah nilai RM400 sekaki itu jika dibandingkan adalah terlalu rendah dan tidak masuk akal.

Malah, penduduk di Kampung Baru juga mengeluh dengan layanan pihak berkuasa yang agak keterlaluan dan seakan menghina mereka.

Pihak pemaju menampal notis Borang E oleh Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di dinding-dinding rumah buruk di Kampung baru bagi memberitahu tentang pengambil tanah mereka bermula dengan siasatan.

Notis yang ditampal di dinding rumah tentang proses pengambilan tanah penduduk Kampung Baru.

Begitukah layanan yang sewajarnya diberikan kepada penduduk Kampung Baru? Mengapa begitu sekali?

Pengerusi Persatuan Komuniti Sungai Baru, Syed Salehuddin Syed Abdullah berkata, terdapat kira-kira 30 peratus penduduk yang masih belum menurunkan tanda tangan dan menolak tawaran yang dirasakan tidak setimpal dengan nilai semasa tanah.

“Pemaju telah datang lima tahun yang lepas dan tawarkan penduduk berpindah ke tempat lain dengan menyediakan rumah tetapi perjanjian mereka berat sebelah. Kalau mereka (pemaju) bankrap kami tidak boleh berbuat apa-apa jadi kami takut.

“Segelintir kami dalam 30 peratus masih belum tanda tangan dan mereka (pemaju) menggunakan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk buat pengambilan, sehari selepas Seksyen 4 dikeluarkan,” katanya dipetik laporan media sebelum ini.

Kampung Sungai Baru melibatkan penduduk yang menetap di dua jenis kediaman iaitu Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan rumah di tanah persendirian.

Ketika pentadbiran kerajaan PH mentadbir, Menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Khalid Abdul Samad membuat tawaran RM850 + 150 sekaki persegi kepada penduduk Kampung Baru untuk membeli tanah mereka.

Beliau berjaya mendapat persetujuan sehingga 63 peratus penduduk cadangan pembelian oleh kerajaan ini.

Ketika itu, pembangkang termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan tidak boleh menggunakan Akta Pengambilan Tanah untuk membangunkan Kampung Baru kecuali untuk membina kemudahan orang ramai seperti hospital.

Ahli Parlimen Ketereh pula, Tan Sri Annuar Musa ketika itu pula berkata, RM850 sekaki persegi bukan nilai tanah di Kampung Baru dengan mengingatkan undang-undang memberi hak bagi pemilik mendapat harga pasaran.

“Kampung Baru adalah kawasan yang sudah dibangunkan la bro… Semua prasarana tersedia. Yang beli bukan swasta tapi kerajaan!!” kata Annuar Musa kepada Khalid Samad.

Hero utama UMNO, Datuk Seri Najib pula berkata, Kampung Baru adalah dekat dengan KLCC dan harganya perlu lebih tinggi.

“Tanah di KLCC cecah RM3,000 satu kaki persegi manakala kerajaan PH kata harga paling tinggi yang ditawar mereka untuk tanah kampung baru adalah RM850 satu kaki persegi berdasarkan penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH).

“Bukan luar biasa jika ada kata harga JPPH jauh di bawah harga pasaran,” kata Najib September 2019 lalu ketika mempelekehkan usaha Khalid ketika itu.

Tiada ulasan: