Seorang penganggur didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana membuat penghantaran pernyataan jelik terhadap bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri di laman profil Facebook milik sebuah syarikat televisyen swasta, tahun lepas.
Hakim M. M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Lim Eng Seng, 44, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes itu hari ini, lapor Bernama.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman penjara enam bulan, sekiranya dia gagal membayar denda itu.
Lim didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran pernyataan bersifat jelik menggunakan perkhidmatan aplikasi laman profil Facebook ‘NTV7’, dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Hantaran itu kemudian telah dilihat di sebuah rumah di Jalan Pantai Permai 8, Pantai Dalam, Brickfields di sini pada 4 petang, 14 Mei 2020, mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Najihah Farhana Che Awang memohon hukuman berat bagi memberi pengajaran kepada OKS dan masyarakat.
“OKS telah membuat komen semasa sidang media rasmi oleh menteri agama pada waktu itu dengan menggunakan perkataan jelik dan tidak bersesuaian dengan adat budaya negara ini,” katanya.
Bagaimanapun, Lim yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan dia perlu menanggung keluarga dan tidak mempunyai pekerjaan.
Berdasarkan fakta kes, seorang pengadu membuat laporan polis berkaitan komen-komen yang berbaur hasutan dan menghina agama Islam sewaktu Facebook Live (siaran langsung) di saluran Facebook NTV7 oleh Zulkifli semasa sidang media JPM (Hal Ehwal Agama) berkenaan kebenaran bagi umat Islam untuk menunaikan solat Jumaat bermula 15 Mei 2020.
Hasil siasatan mendapati penghantaran komen oleh pengguna Facebook ‘King Lim’ adalah jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Di mahkamah sama, seorang wanita mengaku tidak bersalah atas pertuduhan secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya berhubung isu agama Kristian dalam laman profil Facebook miliknya, Mac lepas.
Wan Asshima Kamaruddin, 37, didakwa melalui perkhidmatan aplikasi Facebook dengan menggunakan laman profil Facebook ‘Puteri Mujahidah Wan Asshima Kamaruddin’ secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 9.23 pagi, 11 Mac.
Hantaran itu kemudian dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Wangsa Maju, di sini, pada 6.24 petang, 13 Mac.
Pertuduhan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama, membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga setahun atau kedua-duanya dan boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan wanita itu diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Jan 2022 untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan TPR Najihah Farhana manakala peguam Dorina Abdullah mewakili Wan Asshima
Tiada ulasan:
Catat Ulasan