Pasukan pendakwaan mengambil langkah menerusi satu afidavit membantah permohonan bekas Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak yang mahu mengemukakan bukti baharu dalam kes rayuannya bersabit kes rasuah RM42 juta SRC International (SRC).
Afidavit yang dibuat oleh Timbalan Pendakwa Raya Budiman Lutfi Mohamed membantah permohonan Najib dengan menyifatkan semua bukti yang ada telah pun dibawa ke Mahkamah Tinggi yang mendengar kes Najib, serta Mahkamah Rayuan yang mendengar rayuannya.
Budiman juga menyangkal dakwaan pembelaan bahawa pendakwaan ada menyembunyikan sebarang bukti yang relevan dalam kes tersebut, menurut laporan portal Malaysiakini hari ini.
“Saya menyatakan bahawa semua keterangan yang ada telah dikemukakan untuk penentuan Mahkamah Perbicaraan dan Mahkamah Rayuan dan tidak ada keterangan baru diperlukan untuk penyelesaian kes ini secara adil.
“Saya seterusnya menyatakan bahawa permohonan ini gagal untuk menunjukkan wujudnya apa-apa hal keadaan yang luar biasa untuk membenarkan pengemukaan keterangan baru sebelum keputusan bagi rayuan jenayah tersebut pada 8 Disember ini.
“Pihak pendakwaan menyatakan bahawa rayuan ini bertujuan melambatkan keputusan bagi rayuan jenayah tersebut, dengan membuka semula keseluruhan kes dan perkara ini adalah nyaa daripada perintah yang dipohon dan kesan perintah tersebut,” katanya lagi.
Afidavit dibuat pasukan pendakwaan itu sebagai respons kepada permohonan Najib yang dibuat pada 2 Disember lalu.
Mahkamah Rayuan dijadual menyampaikan keputusannya berhubung permohonan Najib untuk mengetepikan sabitan bersalah serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya, pada 8 Disember ini.
Mahkamah Rayuan juga telah menetapkan untuk mendengar permohonan Najib untuk mengemukakan bukti baru itu esok.
Dalam afidavitnya, Najib antara lain mendakwa bukti yang relevan untuk pembelaannya disembunyikan daripada pasukan peguamnya ketika perbicaraan.
Antara apa yang disifatkan bukti baru yang ingin dikemukakan Najib adalah yang berkaitan dengan perbankan Singapura dan maklumat kewangan keluarga bekas gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.
Najib juga memohon untuk mengemukakan keterangan viva voce Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein dan beberapa lagi saksi lain.
Pada 27 November lalu, Najib membuat laporan polis dengan mendakwa ada pihak menyembunyikan bahan bukti membabitkan perbicaraan kes SRC dan 1MDB.
Beliau berkata tidak dapat mendedahkan nama individu terbabit namun mendapat tahu mereka yang terlibat merupakan individu yang dilantik ke Jabatan Peguam Negara dan SPRM semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan