MALAYSIA POST
“HATI-hatilah berkawan dengan PN (Perikatan Nasional),” kata veteran Umno Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
Beliau mendakwa konsep politik gabungan dalam PN sangat longgar dan ditubuhkan semata-mata kerana keegoan serta cita-cita besar Pengerusinya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, Gabungan Parti Sarawak (GPS) sama seperti Barisan Nasional (BN) yang enggan menyertai PN bagi memenuhi idaman ‘Grand Coalition’ Muhyiddin,
Katanya, namun GPS dan BN menyokong serta menyertai kerajaan pimpinannya sejurus perpecahan Pakatan Harapan (PH) akibat ‘Langkah Sheraton’.
“Di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, PN bertembung dengan BN sungguhpun bilangan Ahli Dewan Undangan (ADUN) mereka tinggal seorang sahaja pada ketika Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan.
“PN tidaklah mempunyai kehadiran yang ketara dalam politik Melaka.
“Namun, keegoaan dan cita-cita besar Muhyiddin membuatkannya untuk mencuba membawa PN ke tahap diluar kemampuan PN sebenarnya. Jauh panggang dari api,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, sungguhpun PN secara rasmi tidak bertanding di PRN Sarawak, namun ahli gabungannya, PAS meletakkan calonnya dan kali ini mengguna lambang partinya.
Menurutnya, Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju daripada Bersatu pula bertanding sebagai calon Bebas dalam usahanya mempertahankan kerusi DUN Krian dalam PRN Sarawak.
“Semuanya kerana menyahut ‘kehendak akar umbi’ dan bukan berpandu kepada prinsip berpolitik. Longgar betul pegangan PAS dan Bersatu kepada konsep politik gabungan dalam PN. Luar biasa betul PN ini.
“Di luar biasa-biasa sahaja kerana dipimpin oleh seorang bertaraf ‘Abah’ yang sayang kepada kuasa dan kedudukan lebih kepada GPS.
“Bukankah tanpa mereka, tidak merasa pun Muhyiddin jadi Perdana Menteri hingga mengiktiraf diri sendiri sebagai seorang ‘bapa’ atau ‘Abah’. Kot kat Malaya je terpakainya sifat ‘Abah’ tu,” katanya. – Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan