Selasa, 21 Disember 2021

Mangsa banjir di lapan negeri kini cecah lebih 70,000 orang

Beginilah kejadian banjir yang melanda di sekitar Taman Seri Muda, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

JUMLAH mangsa banjir yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di lapan negeri kini mencecah angka 70,583 orang dengan Pahang menjadi negeri paling teruk terjejas.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pahang merekodkan 39,770 mangsa diikuti Selangor, 25,809 orang.

Berdasarkan statistik setakat jam 11 pagi tadi, negeri lain yang yang turut merekodkan pemindahan mangsa ke PPS ialah Kelantan, Kuala Lumpur, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Terengganu.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan, di SELANGOR, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor memaklumkan sebanyak 45 jalan masih ditutup, berkurangan daripada jumlah semalam iaitu 73 jalan yang melibatkan enam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) bagi laluan kenderaan di sesetengah kawasan susulan banjir setakat 4 pagi tadi.

Penutupan jalan-jalan itu melibatkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat (26); Subang Jaya (11); Sepang (4); KLIA (2) dan masing-masing satu jalan melibatkan IPD Klang Utara dan Hulu Selangor.

Menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat 7.50 pagi, jumlah mangsa banjir di Selangor meningkat daripada 24,533 mangsa melibatkan 6,907 keluarga malam tadi kepada 24,647 mangsa dari 6,935 keluarga melibatkan 134 pusat pemindahan sementara (PPS).

Sementara itu, jumlah mangsa banjir di TERENGGANU kekal iaitu 63 orang daripada 13 keluarga pada pagi ini.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu dalam kenyataan memaklumkan kesemua mereka berada di tiga PPS di Kemaman dan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu diramal panas sepanjang hari ini dan kesemua mangsa akan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila banjir surut sepenuhnya.

Di PAHANG pula, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini adalah seramai 37,793 orang di 280 PPS yang beroperasi di sembilan daerah. 

Kuantan mencatatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 21,489 orang diikuti Temerloh (6,972 orang) dan Lipis (2,084 orang) manakala daerah lain yang turut terjejas ialah Bentong, Raub, Jerantut, Bera, Maran dan Pekan.

Laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my pula melaporkan beberapa sungai utama masih melebihi paras bahaya pagi ini termasuk Sungai Pahang di beberapa lokasi dengan trend menaik iaitu di Water Front Bera, Kampung Chenor di Maran, Lubuk Pasu Temerloh dan Kuala Sungai Chini Pekan.

ANIH Bhd, pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KL-Karak) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) memaklumkan laluan yang ditutup akibat banjir sejak Ahad lepas, masih belum dibuka terutamanya di KM76 hingga KM126 Lanchang-Temerloh di LPT1 dan KM71 KL-Karak yang ditutup di kedua-dua arah.

Tiada ulasan: