Selasa, 21 Disember 2021

Banjir: Hampir 1,000 pegawai, anggota ATM sudah diatur gerak

Anggota Tentera (ATM) membantu mangsa dalam kejadian banjir disekitar Taman Seri Muda, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) sentiasa komited dalam melaksanakan tugas sekundernya bagi membantu pihak berkuasa awam dalam menyelamatkan orang ramai yang terkesan akibat bencana banjir.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang berkata, ini terutama usaha memindahkan mangsa-mangsa banjir ke kawasan selamat.

Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang. 
GAMBAR: Abd Razak Aid

“Pada masa kini, kesiagaan anggota dan aset ATM melalui pelaksanaan Operasi Murni (OP MURNI) yang digerakkan oleh Tentera Darat Malaysia memberi tumpuan kepada beberapa kawasan terjejas di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, Terengganu dan Kelantan.

“Berdasarkan situasi semasa, seramai 63 pegawai dan 856 anggota lain-lain pangkat termasuk kumpulan sokongan telah diatur gerak.

“Ini bagi melaksanakan tugas bantuan menyelamat dan memindahkan mangsa banjir, penyediaan dan pengagihan makanan, liason officer di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Affendi, aset-aset seperti trak 3, 5 dan 7 tan, land rover, bot tempur serta aset udara dari Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga sedia diatur gerak apabila diperlukan.

“ATM juga sentiasa bersedia dengan kekuatan 1 Kompeni iaitu 5 pegawai dan 97 anggota yang diletakkan dalam keadaan kesiapsiagaan di setiap negeri untuk diatur gerak ke lokasi terjejas banjir apabila terdapat keperluan tambahan,” jelasnya.

Menurut beliau, ATM sentiasa meletakkan anggota dan asetnya pada kesiagaan utama untuk di atur gerakkan ke lokasi-lokasi terjejas di samping membantu Pihak Berkuasa Awam dan agensi-agensi keselamatan lain yang dikoordinasikan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Ini termasuklah dalam menyegerakan pelaksanaan proses pemindahan serta bantuan-bantuan lain,” kata Affendi.

Tiada ulasan: