KERUGIAN akibat banjir yang dialami Mydin Holdings Berhad sendiri mencecah jutaan ringgit.
Namun, dalam isu insiden gedungnya di Sri Muda, Shah Alam yang dipecah masuk, Mydin menghalalkan barang yang diambil mangsa banjir atas nama untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Menurut Pengarah Urusan Mydin Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin, beliau tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat, mungkin mangsa banjir tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut.
“Saya ingin memberi maklum balas mengenai insiden pecah mauk ke premis Mydin Mart yang hangat dibincangkan di media sosial, media tempatatan dan sebagainya.
“Sejujurnya saya tidak menyokong perbuatan mencuri, namun dalam keadaan darurat mungkin mereka tiada pilihan dan terpaksa melakukan perbuatan tersebut demi kelangsungan hidup.
“Dengan seikhlas hati, saya menghalalkan mereka yang melakukan perbuatan tersebut dengan niat meneruskan kelangsungan hidup akibat bantuan yang tiba lambat dan bukan dengan niat yang sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyatakan simpati dengan insiden bencana banjir teruk yang melanda terutama ketika negara masih berdelut dengan pandemik COVID-19.
Cawangan Mydin Mart, Sri Muda, Shah Alam turut musnah akibat banjir pada 18 Disember 2021 dan mengakibatkan kerugian jutaan ringgit.
Beliau turut memohon rakyat Malaysia untuk memanjatkan doa kepada Allah SWT agar mangsa terselamat dan bencana banjir dan pandemik pulih seperti biasa.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai premis Mydin “dirompak” oleh mangsa banjir susulan kekurangan bekalan makanan dan sebagainya dan kekangan mendapatkan bantuan asas.
Sementara itu, warga media sosial memberi pujian kepada pengurusan Mydin di atas tindakan terpuji.
Ini memandangkan mereka yang berbuat demikian dalam keadaan terdesak setelah terputus bekalan keperluan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan