Rabu, 8 Disember 2021

Ali Biju dikompaun RM4,000, langgar SOP PRN Sarawak

MALAYSIA POST

Ali Biju dikompaun RM4,000, langgar SOP PRN Sarawak

TIMBALAN Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Ali Biju dikompaun RM4,000 setelah didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail, berkata kompaun tersebut dikenakan kepada calon Bebas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian tersebut bagi kesalahan semasa hari penamaan calon, Isnin lalu.

“Insiden berlaku selepas calon menyerahkan borang pencalonannya. Apabila dia keluar daripada pusat penamaan calon, penyokongnya berkumpul mengelilinginya tanpa mengikut SOP,” katanya kepada pemberita semalam.

Aidi tidak menyebut nama Ali secara langsung ketika membuat kenyataan itu namun Ali satu-satunya calon Bebas yang bertanding di DUN Krian.

Teka-teki sama ada Ali akan mempertahankan kerusi tersebut terjawab apabila beliau hadir di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Dewan Masyarakat Sri Krian Isnin lalu sebagai calon Bebas menggunakan logo kerusi.

Ali yang merupakan ahli Bersatu, tampil mempertahan kerusi Krian sebagai calon Bebas menentang calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik; calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Musa Dinggat dan calon Parti Bumi Kenyalang (PBK), Danny Kuan.

Ahli Parlimen Saratok berusia 53 tahun itu memenangi DUN Kiran ketika bersama PKR pada 2011 dan 2016. – Malaysiapost

Tiada ulasan: