Selasa, 21 Disember 2021

Kerajaan umum pelbagai bantuan tambahan untuk mangsa banjir – Ismail Sabri

Orang ramai membantu mangsa dalam kejadian banjir disekitar Taman Seri Muda, Shah Alam, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

KERAJAAN mengumumkan beberapa lagi bantuan dan peruntukan tambahan bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang di beberapa kawasan yang terjejas teruk akibat bencana itu di seluruh negara.

Perdana Menteri, Datuk Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau mempengerusikan satu Mesyuarat Khas Penyelarasan Bencana Negara hari ini susulan pengumuman peruntukan segera dan dana bantuan mangsa banjir semalam.

Beliau berkata, mesyuarat telah membuat keputusan supaya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan pengarahan kepada semua pihak berhubung tindakan-tindakan yang perlu dilakukan dengan segera.

Katanya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan tetap menjadi sekretariat utama pengurusan bencana dan mengendalikan semua penyelarasan dan sekiranya sesuatu tindakan itu tidak dipatuhi maka MKN akan mengeluarkan arahan lanjut.

“Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM100 juta untuk aktiviti pemulihan pasca banjir bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah yang terjejas akibat banjir sama ada yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) atau tidak.

“Untuk membantu usahawan pula, pembiayaan kewangan diberikan sehingga RM5,000 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN).

“Pembiayaan ini adalah tanpa faedah/keuntungan dengan tempoh bayaran yang bermula hanya selepas 6 bulan perjanjian pembiayaan ditandatangani,” katanya.

Katanya, beberapa Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) bersetuju menyumbang sebanyak RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir.

“Ini adalah peningkatan lebih 100 peratus berbanding jumlah RM25 juta yang diumumkan semalam,” katanya.

GLIC dan GLC tersebut termasuk Petronas; Yayasan Petronas; Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah; Yayasan Sime Darby; CIMB; Celcom; Telekom Malaysia; Yayasan UEM; dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dengan geran kerajaan sebanyak RM25 juta, ini bermakna dana untuk usaha menangani impak banjir dan pemulihan pasca-banjir adalah RM75.8 juta,” tambahnya.

Sementara itu, katanya, kerajaan bersetuju untuk memberikan dua bulan pengecualian sewa kepada penyewa SME Bank’s Entrepreneur Premises Complex yang terjejas akibat banjir.
Beliau berkata, kerajaan melalui SME Bank juga akan memudah cara permohonan penstrukturan semula pinjaman yang terjejas akibat banjir.

Katanya, kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM30 juta untuk Pinjaman Pemulihan Banjir melalui TEKUN Nasional.

Koperasi yang terjejas juga akan dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM30,000, katanya.

Beliau berkata, msyuarat turut bersetuju isu banjir di Taman Seri Muda, Shah Alam perlu diselesaikan dengan kadar segera.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan semua agensi mengatur kerja dengan lebih agresif untuk membantu mangsa banjir di sana.

“Sehingga petang ini sebanyak 41 bot, 16 lori juga aset-aset lain telah digerakkan ke Taman Seri Muda dengan kekuatan anggota pasukan penyelamat seramai 321 orang,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau telah mengarahkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk:

a) Menggerakkan segera 20 aset pam mudah alih ke kawasan yang terjejas, tambahan kepada 4 buah pam sedia ada.
Ia bertujuan untuk mengepam air dari kawasan yang mengalami banjir genang (yang biasa dikenali sebagai banjir termenung) ke sungai yang berhampiran.
Pam-pam tambahan yang diperoleh daripada pelbagai agensi termasuk yang dimiliki oleh JPS Selangor akan digunakan untuk mengalirkan air genang ke Sungai Kelang.

b) Bersetuju dengan cadangan supaya beberapa bahagian benteng sungai dipecahkan atau ditebuk buat sementara untuk mengalirkan air genang segera keluar ke sungai. Lokasi penebukan sedang dimuktamadkan.

Katanya, kerajaan juga mengalu-alukan sekiranya ada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) mahu menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir tetapi perlu merujuk kepada Pusat Pengurusan Bencana Daerah terlebih dahulu. – UtusanTV

Tiada ulasan: