Selasa, 21 Disember 2021

AIM salur bantuan segera RM100,000 bantu mangsa banjir

Pengerusi AIM Shabudin Yahaya (tengah) bersama Pengarah Urusan Shamir Aziz (Kanan) bertanyakan khabar kepada mangsa banjir Juhaida Kamaruddin (kiri) di pusat penempatan sementara banjir di Dewan Seberguna MBSJ, semalam.

AMANAH Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan bantuan khas sebanyak RM100,000 kepada mangsa banjir khususnya kepada Sahabat AIM yang terkesan akibat fenomena Monsun Timur Laut yang melanda beberapa negeri sejak Sabtu lalu.

Pengerusinya, Datuk Shabudin Yahaya berkata, bantuan yang diberi dalam bentuk barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak, makanan dalam tin dan lain-lain.

“Selain bantuan RM100,000 berkenaan yang akan disalurkan menerusi kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah, AIM juga menyediakan tabung khas untuk Sahabat yang dilanda musibah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.

Katanya, bantuan disalurkan menerusi Tabung Kebajikan dan Kesejahteraan Sahabat (TKKS) bagi membolehkan Sahabat membuat tuntutan mengikut kadar ditetapkan jika terkesan dalam kejadian banjir ataupun kemusnahan kediaman.

Sehingga hari ini (Isnin), seramai 9,206 Sahabat AIM di Selangor, Pahang, Kelantan, Sabah, Terangganu, Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Perak dan Johor terkesan akibat banjir besar berikutan hujan turun tanpa henti sejak Jumaat lalu.

Sebahagian daripada mereka masih berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan tidak dapat menjalankan aktiviti ekonomi seperti biasa, katanya.

Dalam pada itu, Shabudin serta beberapa pengurusan kanan AIM sempat meninjau keadaan Sahabat di PPS Tanjung Karang dan beberapa lokasi lain sebagai tanda prihatin dan melihat keperluan segera yang boleh disalurkan.

Katanya, AIM juga akan menggerakkan pasukan petugas di setiap cawangan untuk membantu Sahabat-Sahabat di seluruh negara terutamanya dalam usaha membersih kediaman dan membantu memulihkan perniagaan yang terjejas.

Beliau turut menasihati Sahabat supaya patuh kepada SOP dan arahan pihak kerajaan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19. – UtusanTV

Tiada ulasan: