Beberapa hari yang lalu saya berbual bicara dengan seorang peguam syarie tentang dunia dan realiti perkahwinan dan alam rumah tangga masa kini.
Macam-macam kisah yang beliau kongsikan, antaranya trend masa kini ramai isteri yang membela “biawak hidup” di dalam rumah. Saya melihat seakan-akan pola dan gaya kehidupan seperti ini semakin berleluasa dalam masyarakat kita. Serius saya kata, ini amat membimbangkan.
Ada kes isteri kerja membanting tulang mencari rezeki demi ‘membela’ suami yang sihat walafiat dan malas bekerja selama 37 tahun. Si isteri bukan sahaja menanggung makan dan minum si suaminya, bahkan atas nama cinta, si isteri bertindak menukar nama rumah yang dibeli dengan hasil titik peluhnya sendiri kepada nama suami.
Diringkaskan hikayat, si suami pergi ke Thailand untuk nikah seorang lagi. Kemudian menghalau isteri dan anak-anaknya dari rumah tersebut sebab si suami nak bawa isteri baharu tinggal di dalam rumah itu.
Bila isteri malang itu ditanya, “Mengapa puan sanggup berkorban macam ni sehingga memudaratkan diri dan anak-anak?” Isteri malang menjawab, “Saya ikhlas nak tolong dia (suami).”
Ada satu lagi kes, si suami yang cukup beri nafkah kepada isteri dan anak-anak, tetapi si suami jenis tangan yang cepat naik memukul anak dan isteri. Suatu hari si suami marah kepada salah seorang anaknya yang berusia setahun setengah kerana enggan makan makanan yang diberikan.
Lalu anak itu dipukul oleh suami, lantas si ibu bangun membela si anak daripada terus melakukan keganasan. Malah si isteri mendapat bala yang lebih besar, iaitu si suami merangkul kepala isterinya dan menghentakkan ke dinding.
Bila pihak guaman bertanya kenapa tidak bertindak membela nasib sejak dari dulu lagi. Jawab si isteri, “Tak apalah, walaupun dia pukul saya dan anak-anak namun dia tetap jalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami, nafkah tak pernah miss”.
Dalam Fiqh Islami, ada perbahasan khusus tentang suami nusyuz. Suami dikira nusyuz kepada isteri sekiranya suami mengkasari isteri secara fizikal atau mulut yang membawa kepada kesakitan tubuh badan dan mental.
Yang dinamakan suami yang nusyuz tidak perlu tunggu si suami buat dua perkara dalam satu masa, iaitu mengkasari isteri dan tidak memberi nafkah kepada isteri (tidak menunaikan hak isteri). Cukup berlaku salah satu dari dua salah laku tersebut, si suami dikira nusyuz dan isteri berhak membuat aduan di Mahkamah Syariah.
Ada satu lagi kisah seorang isteri yang makan hati dan berulam jantung dengan kekejaman si suami sejak sekian lama. Bila si isteri dinasihatkan agar bawa kes ini ke mahkamah dan tuntut perpisahan agar keadilan pada dirinya dan anak-anak lebih terbela.
Lalu respon si isteri, “Saya sayangkan suami saya, macamana kejam dan ganas yang dia lakukan, dia tetap suami saya. Saya perlu jadi seperti Asiah yang tetap sabar dan setia dengan suaminya Firaun yang sangat jahat dan kejam.”
Sebenarnya ada seribu satu kisah isteri malang yang tidak kita ketahui dan saya percaya masih ramai isteri yang tidak terbela nasibnya. Kadang-kadang saya terfikir mungkin antara faktor masalah ini semakin meruncing dan menjadi-jadi disebabkan si isteri sendiri yang tidak mahu ke hadapan untuk menuntut keadilan.
Berdasarkan kisah-kisah yang dikongsikan, sikap isteri yang enggan bertindak antara sebabnya salah faham tentang fakta dan konsep agama yang tepat.
Seperti contoh di atas, si isteri tidak memahami konsep ikhlas yang sebenar. Islam tidak menuntut penganutnya agar ikhlaskan hati untuk membantu seseorang agar dia dapat terus melakukan kezaliman.
Banyak kes yang saya dengar si isteri tidak mahu menuntut keadilan sebab takut jatuh hukum derhaka pada suami. Belum lagi si suami yang salah guna kuasa, tambahan pula ada suami yang suka menunggang agama sebagai lesen untuk dirinya melakukan kezaliman.
Contohnya, “Kalau kau tak bagi duit kat aku, kau dikira derhaka pada suami. Kau nak masuk neraka?” Sedangkan Islam menegaskan bahawa suami tiada kuasa mutlak untuk mengarah isterinya, apatah lagi arahan yang menjejaskan haknya yang sepatutnya ditanggung dan dilindungi. Bukan untuk diperas dan diugut.
Dalam hidup rumah tangga kesetiaan itu merupakan salah satu elemen penting dalam kehidupan. Tetapi kesetiaan yang dihulurkan kepada ‘suami yang kejam’ akan membawa banyak kemudaratan.
Memilih untuk terus hidup dengan pasangan yang terus menerus melakukan kezaliman bukan suatu tindakan yang bijak. Berhujah dengan kisah serikandi Asiah, ibu angkat Nabi Musa ﷺ adalah pendalilan yang tidak tepat.
Firaun terkenal dengan kejahatan dan kezaliman terhadap Bani Israel serta sombong dan angkuh menolak keimanan kepada Allah Taala. Namun tiada satu riwayat pun (hatta israiliyyat) yang menceritakan si Firaun melakukan keganasan dan kezaliman rumah tangga terhadap Sayyidah Asiah.
Maknanya Firaun jahat terhadap rakyat sahaja tetapi tidak pada isterinya.
Menurut sebahagian riwayat, Asiah diseksa oleh Firaun sehingga mati setelah diketahui keislamannya. Sedangkan sebelum itu beliau tidak pernah diperlaku ganas oleh suaminya.
Kisah duka sengsara dalam rumah tangga terlalu banyak yang boleh dikongsikan. Isu di sini bukanlah berapa banyak cerita yang boleh kita kongsikan, tetapi di luar sana dan keliling kita ramai yang merana dan terseksa.
Oleh itu menjadi tanggungjawab kita sebagai masyarakat prihatin agar mengambil berat tentang perkara ini.
Jika kita nampak sebarang keganasan yang timbul sama ada dari pihak suami atau isteri, kita perlu campur tangan untuk menghindari kezaliman ke atas seseorang, terutama ia berlaku dalam kalangan ahli keluarga dan sanak saudara.
Mencegah kezaliman merupakan cabang ‘amar makruf dan nahi mungkar’ yang diwajibkan oleh Allah Taala ke atas hamba-hambanya.
Ya, ada masalah rumah tangga orang kita sebagai orang luar tak layak campuri, namun jika seseorang itu melakukan kemungkaran kepada pasangannya, maka kita mesti ‘busy body’.
Wallahu A’lam. AGENDA DAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan