Siasatan terperinci akan dijalankan berhubung pendedahan dakwaan 600 anggota puak pemisah dari selatan Filipina akan menyerang Sabah baru-baru ini, kata Komander Kawasan Keselamatan Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Ahmad Fuad Othman.
Ahmad Fuad berkata, pihaknya sudah mendapat maklumat mengenai dakwaan tersebut sebelum ini dan pasukan risikan ESSCOM juga cuba mendapatkan maklumat lanjut mengenainya.
“Kita masih cuba mengesahkan dakwaan ini daripada rakan sejawat di negara jiran,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Namun, pihak berkuasa sudah meningkatkan kawalan dan rondaan di kawasan sempadan negeri Sabah bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Setakat ini, tiada pergerakan tidak normal dikesan di perairan negeri ini.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah mengesahkan laporan akhbar mengenai serangan anggota puak pemisah Filipina itu tidak benar.
Semalam, sebuah akhbar tempatan memetik sumber akhbar luar negara daripada Hong Kong, China yang menyatakan 600 anggota puak pemisah dari selatan negara jiran akan menyerang Sabah.
Akhbar tersebut melaporkan perkara itu dirancang setelah beberapa siri pertemuan yang dihadiri 19 datuk bandar yang diadakan di Filipina.
“Bagaimanapum hanya seramai 11 datuk bandar dari wilayah selatan negara itu yang sudah bersetuju untuk merekrut paling kurang 600 anggota bersenjata,” kata portal berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan