Sabtu, 11 Disember 2021

Polis panggil pelajar MRSM Kuala Kangsar terbabit kes buli


Semua pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar yang dikatakan terbabit dalam kes buli seorang pelajar lain secara kekerasan telah dipanggil polis bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid memaklumkan pemilik akaun media sosial yang menularkan video berkenaan turut dipanggil memberi keterangan.

Menurutnya siasatan awal polis mendapati kejadian itu berlaku antara jam 1 hingga 2 pagi semalam, 9 Disember 2021 membabitkan seorang pelajar dengan tujuh suspek lain.

Semua yang terbabit dalam kejadian itu berusia 13 tahun dan merupakan pelajar Tahun Satu MRSM berkenaan.

Beliau berkata polis turut menerima satu laporan berkaitan kejadian itu daripada pengetua MRSM terbabit kira-kira jam 1 tengah hari tadi susulan tular video kejadian berkenaan hingga mendapat perhatian meluas orang ramai.

“Polis mengesan satu rakaman video tular berkaitan pergaduhan membabitkan pelajar yang dikenal pasti berlaku di sebuah sekolah berasrama penuh dalam daerah Kuala Kangsar hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mior Faridalathrash berkata, semua pihak berkenaan dipanggil memberi keterangan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen147 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Katanya, polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat spekulasi berkaitan kejadian itu bagi mengelakkan kekeliruan dan kegusaran masyarakat selain dibimbangi dapat mengganggu proses siasatan.

“Orang ramai dinasihatkan untuk tidak menularkan maklumat tidak sahih kepada umum serta disarankan membuat laporan dan aduan di balai polis berhampiran, menghubungi jabatan berkaitan, atau mengikut undang-undang yang diwartakan,” katanya.

Berdasarkan video yang tular, kelihatan sekumpulan pelajar sedang mengepung seorang pelajar lain dan menumpuk perut mangsa sambil tertawa sesama mereka.

Video berdurasi 10 saat itu telah menimbulkan kemarahan netizen dengan pelbagai komen.

Tiada ulasan: