Selasa, 21 Disember 2021

Banjir: Kerosakan peralatan masjid dianggar RM60,000

Oleh IBNU JANIE
 

MASJID TANAH: Banjir yang melanda Lubok China baru-baru ini telah merosakkan peralatan dan infrastruktur Masjid Al Wakil dengan kerugian dianggar berjumlah lebih RM60,000.

Menurut pengerusi masjid, Nasarudin Mohamad, selain pagar, peralatan masjid yang mengalami kerosakan ialah penghawa dingin, sistem pembesar suara, permaidani, tangki dan pam air.

“Penghawa dingin tu yang rosak empat unit. Yang 2.5 HP ada dua unit, 5 HP satu unit dan satu lagi 3 HP. Jumlah keseluruhan penghawa dingin yang rosak hampir RM18,000. Dua peti ais dalam anggaran RM4,000.

“Permaidani tu dulu kita pasang berperingkat-peringkat dan jumlah kos yang kita pasang dulu RM32,00. Tangki air dan pam tu kita buat dulu RM4,500. PA system juga rosak. Semua sekali tu dalam anggaran lebih RM60,000,” kata beliau.

Beliau turut bersyukur kerana sempat mengalihkan van jenazah untuk diparkir di kawasan yang lebih tinggi dan tidak dinaiki air pada malam kejadian.

Nasarudin berkata demikian kepada Harakahdaily semasa program tinjauan Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail dan pimpinan Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka (BPPNM) ke masjid itu dalam rangka lawatan bagi meninjau keadaan banjir sekitar Lubok China, semalam.

Beliau yang sudah dua tahun diamanahkan sebagai pengerusi masjid menceritakan kembali kejadian yang berlaku akibat hujan lebat yang bermula pada petang Jumaat.

“Saya memang dah tahu daripada pengalaman lepas kalau hujan lebih daripada tiga ke empat jam air biasa akan naik. Jadi, pukul 4 pagi (Sabtu) saya turun dekat sini tinjau.

“Saya tinjau dari belakang masjid sebab masa tu dah tak boleh sampai dari depan. Saya tengok air sudah paras dada. Satu jambatan pejalan kaki yang di belakang masjid ni dah ditenggelami air,” katanya.

Tambah beliau, dengan situasi yang berlaku pada masa itu beliau percaya bahawa kawasan dalam masjid sudah pun dimasuki air.

“Pagi tu saya maklumkan pada jemaah melalui grup WhatsApp bahawa kita tak boleh buat solat jemaah Subuh kerana masjid sudah dinaiki air. Menjelang 11 pagi hari Sabtu air memang dah naik tinggi.

“Dan semalam (Ahad) sekitar jam 9 pagi barulah air surut sedikit dan saya boleh masuk ke dalam masjid. Tapi pada masa itu di dalam kawasan masjid masih ada air bertakung di sesetengah kawasan,” ujar beliau.

Di dalam ziarah itu beliau turut menerima sumbangan daripada BPPNM yang disampaikan oleh Timbalan Pesuruhjaya-1 PAS negeri, Bakri Jamaluddin. (Foto atas)

“Saya mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada orang ramai bagi menggantikan kerosakan peralatan yang berlaku. Jumlahnya agak besar untuk ditampung dengan dana masjid sedia ada.

“Selain itu, insya-Allah kita akan tetap adakan solat Jumaat akan datang ni walau pun tak ada karpet. Kita mungkin minta jemaah bawa sejadah sendiri,” ujar Nasarudin. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: