KUALA LUMPUR: Jabatan
Amal Malaysia (JAM) giat menjalankan operasi bantuan banjir di pelbagai
lokasi yang terkesan dengan bencana banjir di Selangor.
Ketua
Bilik Operasi Banjir Sepang, Hafiz Sabri berkata, pada peringkat awal,
pihaknya menjalankan operasi menyelamat mangsa banjir dengan kerjasama
anggota keselamatan.
Menurut Hafiz, walaupun JAM tidak mempunyai
kelengkapan yang cukup untuk misi bantuan menyelamat, namun mereka
berusaha memberi sumbangan tenaga kudrat untuk membantu mangsa.
“Peringkat awal, memang kita membantu dalam operasi menyelamat, kemudian kita bantu sediakan makanan dan keperluan pakaian dan lain lagi.
“Hari ini, kita akan memasak dan edarkan makanan, esok kita hanya sediakan makanan kering memandangkan mereka semua mula kembali ke rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.
Menurut Hafiz, bilik operasi mula dibuka bermula Sabtu lalu dan akan dibuka sehingga semua operasi bantuan selesai.
Katanya, peringkat seterusnya JAM akan mula melakukan operasi pembersihan di rumah yang terkesan.
“Kita mula buka bilik operasi pada Sabtu sehingga ke hari ini masih buka, kita sediakan makanan secara bungkus, makanan kering dan sebagainya.
“Untuk sumbangan makanan, kita dapatkan bantuan melalui badan bukan kerajaan (NGO seperti Yayasan Amal Malaysia (YAM) dan ada yang beri bantuan persendirian.
“Ada jenis bantuan, mereka beri wang dan kami bantu untuk sediakan makanan kepada mangsa banjir,” katanya.
Menurut Hafiz, JAM Sepang juga menggerakkan tabung melalui Prihatin Sepang untuk mengumpulkan dana bagi membantu mencukupkan keperluan mangsa banjir. – HARAKAHDAILY
Tiada ulasan:
Catat Ulasan