Selasa, 21 Disember 2021

Banjir: Jadikan medan hulur bantuan fizikal, spiritual

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
 

KANGAR: Musibah banjir yang melanda negara wajar dijadikan medan untuk menghulurkan bantuan fizikal mahupun spiritual.

Pengarah Ameerah Perlis, Puteri Fatin Nasyuhada Megat Mohamad Halim berkata pada masa bencana, keutamaan perlu diberikan bagi membantu mangsa terjejas tanpa mengira bangsa dan agama.

“Sekarang ini bukanlah masa yang sesuai untuk menuding jari serta menyalahkan prosedur operasi standard (SOP) solat, kefasadan politik, kelemahan perancangan bandar dan sebagainya.

“Kita sebagai makhluk tidak layak untuk menentukan kemurkaan Allah, kepincangan manusia mahupun tindak balas alam,” katanya.

Justeru, ujarnya, semua rakyat Malaysia perlu bekerjasama dalam mencari penyelesaian dan cara untuk meringankan kesusahan yang menimpa mangsa dari segi ibadat dan keselamatan.

Beliau menyeru semua pihak sentiasa mendoakan agar mangsa yang terlibat diberi kekuatan dan dipermudahkan segala urusan.

“Di samping itu, jika tidak dapat menghulurkan bantuan secara fizikal orang ramai boleh menghulurkan bantuan kewangan melalui mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang mereka yakini.

“Setiap ujian dan musibah yang berlaku adalah waktu untuk kita lebih mendekatkan diri dan hampir kepada Allah bukan sahaja kepada mangsa malah seluruh umat Islam khasnya,” katanya.

Hujan luar biasa yang berterusan bermula 17 hingga 19 Disember lalu, menyebabkan beberapa kawasan di Lembah Klang dilanda banjir kilat.

Klang, Shah Alam, Petaling, Sepang, Kuala Langat dan Kuala Selangor antara kawasan terjejas teruk malah kawasan yang tidak pernah dilanda banjir pun terjadi bencana tersebut. HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: