AGENDA DAILY
Kerajaan membuat keputusan membenarkan warga emas berusia 60 tahun ke atas di Selangor dan Kuala Lumpur, tidak perlu lagi menunggu janji temu suntikan menerusi MySejahtera.
Sebaliknya, Menteri kesihatan Datuk Serdi Dr Adham Baba berkata mereka boleh terus ke mana-mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) atau secara ‘walk in’, mulai esok.
Katanya, langkah itu diambil selepas data menunjukkan masih ada lagi warga emas yang masih belum disuntik.
“Di Selangor dan Kuala Lumpur, mereka yang berusia 60 tahun yang masih belum menerima vaksin, boleh walk in. Data menunjukkan masih ada lagi golongan ini yang masih belum divaksinasi,” katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata projek perintis yang bermula di Selangor dan Kuala Lumpur itu akan dikembangkan ke negeri-negeri lain dalam masa terdekat dalam usaha meningkatkan lagi program imunisasi bagi mempercepatkan pencapaian imuniti kelompok.
Pada masa sama Dr Adham berkata kerajaan turut memberi kebenaran kepada PPV Industri di Lembah Klang dan Negeri Sembilan untuk beroperasi 24 jam.
Katanya, ia adalah bagi memastikan proses vaksinasi di kawasan yang menyaksikan peningkatan kes secara mendadak dapat dipertingkatkan.
“Sekiranya PPV Industri ingin melaksanakan program vaksinasi di Selangor, Kuala Lumpur dan Seremban (Negeri Sembilan) boleh 24 jam sekarang,” katanya.
Hari ini, kes jangkitan baharu Covid-19 di seluruh negara melonjak kepada 13,215 kes, berbanding semalam, 11,618 kes dengan Selangor mendahului jumlah jangkitan sebanyak 6,120 kes diikuti Negeri Sembilan (1,603 kes) dan Kuala Lumpur (1,499 kes).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan