Ketika ini UM jalin kerjasama dengan lebih 80 kolej, universiti China
BANGI – Insitut Pengajian China Universiti Malaya (UM) telah menganjurkan seminar akademik secara maya dengan tajuk ‘Pemerintahan China: Perspektif dari Negara-negara Asia Tenggara’ pada 23 Jun lalu.
Seminar itu diadakan sempena menyambut ulang tahun ke-100 Parti Komunis China.
Dalam majlis itu, Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang telah berucap di hadapan kira-kira 200 hadirin yang terdiri daripada pegawai kerajaan, sarjana, wartawan serta wakil belia dari China dan Asia Tenggara.
Dalam ucapannya, duta itu berkata, kejayaan parti komunis tidak dapat dinafikan berikutan China ketika ini telah menjadi kuasa besar dunia.
“Sejak satu tahun terakhir ini China dan Malaysia telah bekerjasama memerangi wabak COVID- 19 dan juga projek-projek besar lain.
“China bersedia untuk mengukuhkan lagi hubungan dengan bertukar-tukar pandangan mengenai sistem politik China, pembangunan ekonomi, pengurusan sosial, antiwabak, pengurangan kemiskinan, peralatan berteknologi tinggi dan topik-topik lain.” katanya seperti dilapor Fokus.
Sementara itu, Dekan Fakulti Kesenian dan Sains Sosial UM, Danny Wong Tze Ken mengucapkan tahniah atas penganjuran seminar itu bagi pihak universiti berkenaan.
Dalam 40 tahun terakhir, Tze Ken berkata, China telah mencapai pencapaian pembangunan yang luar biasa dalam bidang ekonomi, masyarakat, sains dan teknologi, pendidikan, dan sebagainya.
“Ini menunjukkan kelebihan tadbir urus China adalah kemampuan untuk melaksanakan rancangan pembangunan sendiri dan mempromosikan pembangunan negara,” katanya.
Sebagai negara besar dengan populasi 1.4 bilion, China telah mengetuai pengendalian wabak domestik serta memberikan bantuan kepada negara jiran dan antarabangsa.
Pemerintah China sebelum ini mengumumkan sumbangan sebanyak 500,000 dos vaksin COVID-19 kepada Malaysia bagi mencapai matlamat ‘herd immunity’.
Semangat yang sama juga dicerminkan dalam kerjasama antarabangsa seperti ‘Belt and Road’ yang dimulakan oleh China.
Kini, UM menjalin kerjasama dengan lebih daripada 80 kolej dan universiti China bagi menjalinkan kerjasama akademik, penyelidikan bersama dan pertukaran pelajar.
UM merancang lebih banyak pertukaran dan kerjasama dengan universiti-universiti China untuk membantu pengembangan kerjasama strategik Malaysia-China.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan