Selasa, 6 Julai 2021

Tiada pertemuan bersemuka parti politik ketika PKP, PKPD, tegas KPN

Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau yakin semua parti politik memahami 
SOP yang ditetapkan MKN.

PETALING JAYA: Parti politik diingatkan tidak mengadakan pertemuan atau mesyuarat bersemuka semasa pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKP diperketat (PKPD).

Ketua Polis Negara, Acryl Sani Abdullah Sani berkata, beliau yakin semua parti politik memahami prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau memaklumkan, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan mengenai adanya pertemuan dan mesyuarat membabitkan parti politik terutamanya semasa pelaksanaan PKPD di Kuala Lumpur dan Selangor.

Beliau yang ditemui selepas meninjau kawasan PKPD di Flat Sri Sabah, Cheras pada Selasa berkata, pihaknya akan mengambil tindakan jika terdapat laporan berkaitan perkara itu.

“Namun jika pihak polis menerima sebarang maklumat atau laporan mengenai perkara itu, kita pasti akan menyiasat dan membuka kertas siasatan,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Tiada ulasan: