Jumaat, 23 Julai 2021

Tawil bintang Prebet Lapok meninggal dunia


Pelakon Abu Bakar Ahmad atau lebih dikenali sebagai Tawil, 68 tahun meninggal dunia di rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Sri Aman, Kepong, awal pagi tadi.

Bintang Prebet Lapok yang berganding dengan AR Badul, Tawil, 68, menghembuskan nafas terakhir selepas sesak nafas di kediamannya di Projek Perumahan Rakyat (PPR), Sri Aman, Kepong, di sini, jam 2.15 pagi tadi.

Berita pemergiannya disahkan oleh isteri, Azah Abdul Kahar, 62, yang berada di sisi ketika arwah meninggal dunia secara mengejut.

“Arwah kejutkan saya minta tolong sapukan minyak pada bahagian dada apabila sesak nafas secara tiba-tiba, jam 1 pagi. Ketika sapukan minyak, nafasnya seperti tercungap-cungap. Arwah selalu sesak nafas dan semput, sejak kebelakangan ini. Sebelum ini, arwah tiada penyakit semput,” katanya.

Memetik laporan BHOnline Azah berkata, dia memanggil jiran untuk mengalihkan arwah yang duduk atas kerusi sebelum menghubungi anak-anak dan ambulans.

“Bagaimanapun, pegawai perubatan yang tiba bersama ambulans mengesahkan arwah sudah tiada. Saya percaya arwah menghembuskan nafas terakhir atas katil tanpa saya sedari,” katanya.

Katanya, dia reda atas pemergian suami, apatah lagi, meninggal dunia pada malam Jumaat.

“Apapun, saya reda arwah pergi pada penghulu hari. Arwah juga pergi dengan tenang dan cukup mudah,” katanya sambil menyatakan dia dapat melihat perubahan sikap arwah yang nama sebenarnya Abu Bakar Ahmad, sepanjang minggu ini.

“Arwah banyak mendiamkan diri. Selalunya arwah akan bantu mengalihkan tempat ampaian apabila saya basuh baju. Namun, arwah buat tidak tahu dan hanya pandang sahaja, kali ini. Mungkin arwah mahu saya membiasakan diri melakukan kerja rumah sendiri jika dia sudah tiada.

“Ia juga bagaikan petanda arwah akan meninggalkan saya, anak dan cucu buat selama-lamanya. Bagaimanapun, arwah tidak pula meninggalkan pesanan sebelum tutup mata,” katanya.

Beliau berkata, urusan pengebumian arwah diuruskan anak-anak, namun belum sempat berbincang mengenai lokasi dan waktu dikebumikan.

Allahyarham Tawil bukan hanya dikenali sebagai pelawak pentas, malah banyak membintangi drama dan filem serta bergelar pengacara sekitar 1970-an dan 1980-an.

Mula mencipta kemasyhuran menerusi filem Prebet Lapok arahan Allahyarham Datuk Aziz Sattar, gelagat lucu dan kerenah arwah bersama bintang utamanya, AR Badul menjadi sebutan ramai.

Kali terakhir anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur itu tampil menerusi telefilem Taubat Seorang Samseng pada 2013, sebelum memperlahankan aktiviti seninya.

Tahun lalu, arwah Tawil antara 25 penggiat seni menerima surat tawaran unit PPR di bawah Inisiatif Perumahan Komuniti Seni Prihatin atas usaha Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk golongan veteran tidak berkemampuan.

Bagaimanapun, unit kediaman didudukinya dibiayai sepenuhnya oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan bayaran RM35,000, sebelum arwah dan isteri berpindah pada Mac lalu.

Tiada ulasan: