Selasa, 20 Julai 2021

Sultan Selangor nasihat beraya di rumah, elak penularan Covid-19

MGF26032019_SULTAN-SELANGOR-RASMI-SPRM06
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah

KUALA LUMPUR – Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berharap sambutan Hari Raya Aidiladha kali ini diraikan dalam suasana sederhana dan setiap aktiviti membabitkan ibadah korban dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Baginda mahu supaya umat Islam terus memanjatkan doa setiap kali selepas solat agar sekalian rakyat terus dilindungi dan dijauhkan daripada musibah wabak Covid-19 dan kematian.

Dalam perutusan Selamat Hari Raya Aidil Adha bersama-sama Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, baginda turut menzahirkan kebimbangan sekiranya masih ada yang berdegil untuk pulang ke kampung di luar daerah sempena musim perayaan ini.

selangor

Lantaran itu, baginda mengambil kesempatan ini untuk menasihati umat Islam agar menyambut Hari Raya Aidiladha di rumah masing-masing demi mengelakkan penularan wabak Covid-19 yang tidak terkawal.

Baginda masih berdukacita kerana perayaan umat Islam yang sepatutnya disambut dengan semangat kesatuan ummah bagi mengeratkan ukhwah ini terpaksa diadakan dalam keadaan yang terhad dan waspada.

Oleh itu, baginda menggesa orang Melayu Islam supaya mengukuhkan perpaduan dan teguh bersatu hati menuruti setiap perintah Allah SWT, serta tidak mengadu domba dan bertelingkah mengenai isu-isu remeh yang tidak bermanfaat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: