Rabu, 7 Julai 2021

Sukarelawan muda sumbang tenaga perangi Covid-19

Aliff Fikri

Kes Covid-19 yang masih tinggi dorong ramai golongan muda jadi sukarelawan vaksin di PPV seluruh negara.

Kes harian Covid-19 di negara kita masih mencatatkan jumlah tinggi sekitar 6,000 hingga 7,000 setiap hari dengan kematian yang masih pada paras membimbangkan mendorong lebih ramai golongan muda menjadi sukarelawan bagi menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Ini kerana hanya apabila imuniti kelompok dapat dicapai, kehidupan normal dapat dikembalikan seperti sebelum pendemik Covid-19 melanda.

Menerusi Inisiatif Malaysia Vaccine Support Volunteer (MyVac) hasil kerjasama kementerian kesihatan, kementerian sains, teknologi dan inovasi (Mosti), kementerian belia dan sukan, kementerian pengajian tinggi serta Bulan Sabit Merah Malaysia (MRCS), sukarelawan diambil di seluruh negara bagi menyokong sistem logistik memerangi virus tersebut.

Di bawah inisiatif ini, mereka yang berminat dan tidak bekerja, boleh menjadi sukarelawan dengan bayaran elaun RM50 sehari bagi meringankan keperluan tenaga kerja kementerian kesihatan sekaligus menjayakan PICK.

MalaysiaNow sempat menemubual beberapa individu, yang bertugas sebagai sukarelawan bagi menyokong usaha kerajaan melawan wabak merbahaya ini di salah satu Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Lembah Klang.

Hasni Ibrahim, 31, menyatakan beliau gembira dapat membantu meringankan beban petugas barisan hadapan serta memperoleh sedikit ilmu tentang dunia kesihatan.

“Walaupun elaun yang diberi boleh dikatakan tidak seberapa, tapi saya dapat menghulurkan bantuan dari pendaftaran penerima vaksin dan memastikan kelancaran proses mereka menerima suntikan,” kata graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) itu kepada MalaysiaNow.

Hasni yang masih menganggur ekoran kesukaran mendapatkan kerja di musim pandemik berkata, kewujudan sukarelawan MyVac juga membolehkan individu seperti beliau mendapat kerja serta membantu masyarakat.

“Bagi saya inisiatif ini menguntungkan banyak pihak dan mempercepat proses pemberian vaksin untuk masyarakat,” kata pemuda asal Puchong itu.

“Saya dibayar untuk menolong orang, membantu orang sudah tentu tugas yang amat mulia.”

Hasni berkata antara tugas dilakukannya adalah mendaftar nama penerima vaksin mengikut tarikh temu janji mereka, memasukkan data peribadi individu tersebut sebelum dibenarkan bertemu doktor untuk proses pemeriksaan rekod kesihatan.

Sementara itu, bagi Yuan Leong, 34, penyertaannya dalam MyVac adalah untuk menyalur khidmat membantu melawan wabak maut Covid-19.

“Ini sebenarnya bukanlah pengorbanan besar sangat, tapi sekurang-kurangnya saya bersama-sama membantu membasmi penyakit ini, mungkin tidak banyak, tapi mana yang boleh bantu, saya buat,” katanya yang ditempatkan di PPV mega Axiata Arena kepada MalaysiaNow.

Beliau sebelum ini bekerja sebagai pereka grafik sebelum ditamatkan perkhidmatan akibat gejala pandemik yang makin parah.

Kini Leong ditugaskan di kaunter warga emas dan orang kelainan upaya PPV sejak mula berkhidmat awal April lalu.

PICK dilaksanakan pada 24 Februari lalu, ia merupakan program pemvaksinan terbesar yang dilaksanakan kerajaan, sebagai satu pendekatan membendung penularan virus Covid-19.

Setakat ini, sehingga 23 Jun lalu seramai 4,500 sukarelawan MyVac ditugaskan di 332 PPV manakala bakinya diletakkan dalam keadaan bersedia apabila lebih banyak PPV dibuka.

Pada 19 Jun, Menteri Belia dan Sukan Reezal Merican berkata pihaknya menjangkakan lebih ramai sukarelawan MyVax diperlukan dalam usaha membantu kerajaan memastikan kelancaran proses vaksinasi.

Perkara itu kerana lebih banyak PPV mega termasuk di luar bandar serta penempatan orang asli akan dibuka.

PICK melepasi sasaran 300,000 dos suntikan sehari pada Isnin menjadikan jumlah pemberian vaksin Covid-19 setakat 5 Julai 2021 ialah 9,320,476 dos.

Tiada ulasan: