Sabtu, 3 Julai 2021

Pusat zakat dirayu turun padang jejaki rakyat dalam kesusahan

ainulillia

Gerakkan skuad untuk cari yang daif di pelbagai lokasi setiap hari

BANGI – Semua pusat zakat negeri diminta lebih proaktif dalam pengagihan wang zakat kepada golongan yang kini terhimpit dengan kesesakan punca pendapatan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ditambah dengan peningkatan kes bunuh diri setiap hari, Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM), Shahbudin Embun menggesa pusat zakat untuk melaksanakan inisiatif tambahan daripada yang pernah dilaksanakan sebelum ini.

Ini kerana, kebanyakan daripada golongan ini tiada wang simpanan yang mencukupi untuk menampung hidup dalam keadaan PKP yang  berpanjangan.

“Setiap hari ada sahaja berita tentang penutupan perniagaan yang menyebabkan ramai di antara kita yang kehilangan sumber pendapatan. 

“Keadaan yang dirasai sekarang sekali gus memberi kesan langsung kepada kos sara hidup. Justeru, Lembaga Zakat setiap negeri perlu menjadikan bantuan kepada golongan ini sebagai matlamat utama mereka. 

“Buat masa sekarang, agensi yang ditugaskan untuk membantu disyorkan tidak mengamalkan birokratik dan menyiasat kesahihan sama ada nama mereka tersenarai di bawah mana-mana agensi pembasmian kemiskinan kerana kebanyakan mereka bukan dalam kategori kemiskinan mutlak,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini. 

Dalam pada itu, Shahbudin memuji pusat zakat yang telah bertindak aktif lebih awal untuk menyantuni golongan yang memerlukan.

Beliau turut mengesyorkan inisiatif Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) yang pernah menubuhkan skuad jejak Asnaf Baitulmal yang dilancarkan pada tahun 2012 dijadikan sebagai contoh. 

Tujuan skuad ini ditubuhkan adalah untuk golongan menjejaki asnaf yang tercicir daripada menerima bantuan zakat di seluruh Wilayah Persekutuan. 

“Dalam keadaan sekarang, skuad ini perlu lebih aktif agar lebih banyak bantuan dapat disumbangkan. Apa kata skuad seperti ini diperluaskan di seluruh negara dan dijadikan sebagai aktiviti yang wajib dilaksanakan. 

“Skuad turun padang ini mesti bergerak setiap hari di pelbagai lokasi yang terdapat mereka yang hidup dalam kedaifan dan kesukaran selain berdasarkan laporan orang ramai dan media,” katanya.

 

Tiada ulasan: