Khamis, 15 Julai 2021

Polis tumpas sindiket along diketuai Datuk Seri


Polis menumpaskan sindiket Along.

Satu sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along diketuai lelaki berusia 59 tahun bergelar Datuk Seri antara tiga kumpulan yang ditumpaskan oleh Polis Pulau Pinang dalam serbuan 7 Julai lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata ahli perniagaan bergelar Datuk Seri itu juga anggota geng kongsi gelap terbesar di negeri itu.

Katanya mereka yang berusia antara 21 hingga 59 tahun itu ditahan dalam operasi khas bermula 6 pagi hingga 5 petang, hasil risikan dan intipan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri sejak sebulan lalu.

“Kumpulan pertama membabitkan 15 individu yang diketuai lelaki bergelar Datuk Seri berusia 59 tahun yang juga ahli perniagaan. Mereka ini merupakan ahli kongsi gelap terbesar di Pulau Pinang iaitu dari Geng 24 dengan menjalankan kegiatan perjudian, dadah, pelacuran dan pemerasan.

“Modus operandi geng itu adalah dengan menawarkan pinjaman kepada orang ramai dan mengenakan faedah yang tinggi antara 30 hingga 50 peratus sebulan. Sekiranya peminjam gagal melunaskan hutang mereka, ahli kumpulan tersebut akan mengugut dan mencederakan mereka,” katanya hari ini.

Mohd Shuhaily siasatan mendapati geng itu mempunyai senjata api dan senjata tajam untuk tujuan melakukan kegiatan pemerasan, mencederakan dan menakutkan peminjam yang terdiri daripada pelbagai golongan termasuk pengurus kilang, ahli perniagaan dan peniaga.

Beliau berkata transaksi pinjaman yang dikenakan adalah antara RM1,000 hingga RM100,000 yang menggunakan akaun sendiri, ahli keluarga atau rakan peminjam dan siasatan mendapati kumpulan itu juga mampu mengaut keuntungan sehingga setengah juta ringgit setiap bulan, hanya dengan aktiviti pinjaman wang tidak berlesen tersebut.

Katanya sementara kumpulan kedua terdiri daripada empat orang dan diketuai lelaki berusia 25 tahun manakala tangkapan terakhir adalah melibatkan seorang lelaki, berusia 36 tahun, yang bergerak sendiri menjalankan kegiatan along.

“Ekoran penahanan 20 lelaki itu, polis merampas 11 kenderaan mewah antaranya jenis Toyota Vellfire, BMW, Mercedes Benz dan Honda, 36 telefon bimbit, 64 keping kad bank, 22 set kad perniagaan, wang tunai bernilai RM24,520, sembilan utas jam tangan dan tujuh unit barang kemas,” katanya.

Beliau berkata tiga geng along itu juga dipercayai telah terlibat dalam kegiatan along sejak beberapa tahun lepas dan semua mereka direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951.

Tiada ulasan: