Isnin, 12 Julai 2021

Polis nafi pegawai Imigresen menyamar

Oleh Faris Fuad

KUALA LUMPUR: Polis menafikan dakwaan gambar tular di media sosial kononnya seorang lelaki menyamar sebagai pegawai Imigresen ketika menjalankan tugas di sebuah rumah dekat Pandan Indah, Ampang, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata hasil siasatan mendapati dua pegawai Imigresen hadir ke rumah itu atas urusan rasmi.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya mengesahkan ada menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 60 tahun yang juga tuan rumah semasa pemeriksaan dilakukan dua pegawai Imigresen di rumahnya.

"Siasatan lanjut juga mendapati pegawai berkenaan turut memperkenalkan diri dan memberitahu tujuan kehadiran mereka" katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, gambar pegawai berkenaan disebarkan dan ditularkan mengandungi kenyataan berunsur fitnah serta dilihat cuba merosakkan nama baik penguat kuasa terbabit.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung penularan gambar itu," katanya.

Mengulas kes lain, Mohamad Farouk berkata, pihaknya menahan seorang lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) kelmarin, kerana disyaki memukul lelaki menggunakan besi kunci motosikal.

Katanya, dalam kejadian di hadapan rumah kedai di Jalan Cahaya 14, Ampang pada jam 6.30 petang, suspek berusia 36 tahun dikatakan mengganggu kakak ipar mangsa.

"Mangsa yang berada di tingkat atas rumah berkenaan dihubungi kakak ipar selepas mendakwa diganggu seorang warga asing.

"Lelaki itu kemudian turun ke bawah rumah serta menegur suspek. Bagaimanapun, PATI itu menggigit jari tangan sebelum memukul mangsa hingga mendatangkan kecederaan.

"Punca kejadian disebabkan suspek yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah bertanyakan alamat dan butiran diri kakak ipar mangsa," katanya.

Suspek direman hingga 23 Julai ini mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen serta Peraturan 17, Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021

Tiada ulasan: