Khamis, 15 Julai 2021

PM secara rasmi maklumkan speaker Dewan untuk sidang 26 Julai

 MalaysiaNow

Ahli-ahli Parlimen akan dimaklumkan selepas ini tarikh sidang Dewan Rakyat.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin secara rasmi menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat Azhar Harun untuk mengadakan sidang khas pada 26 Julai, memberikan laluan kepada perbahasan dalam kalangan ahli-ahli Parlimen yang pertama semenjak Disember tahun lepas.

Perkara ini disahkan kepada MalaysiaNow oleh Azhar hari ini, lebih seminggu selepas kerajaan mengatakan akan menasihatkan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan sidang lima hari untuk Dewan Rakyat dan tiga hari untuk Dewan Negara.

Azhar berkata selepas menerima notis itu, beliau mengarahkan setiausaha Dewan Rakyat untuk memaklumkan kepada ahli-ahli Parlimen untuk hadir.

Awal hari ini beliau memberitahu MalaysiaNow semua prosiding akan dilaksanakan dengan SOP kesihatan “sangat ketat” selepas beberapa kes Covid-19 dikesan di Parlimen.

Parlimen dan Dewan Undangan Negeri digantung sejak darurat kesihatan dilaksanakan pada Januari, memberikan kerajaan kuasa luas untuk melaksanakan langkah-langkah untuk mengekang pandemik Covid-19.

Di bawah Pelan Pemulihan Negara diumumkan Putrajaya, jalan keluar krisis Covid-19 untuk secara berperingkat membenarkan aktiviti harian, Parlimen dijangkakan dibuka sekitar September apabila jumlah rakyat yang menerima vaksin semakin meningkat, bergantung kepada jumlah kes harian.

Bagaimanapun, dalam beberapa kenyataan daripada istana, Yang di-Pertuan Agong menggesa Parlimen dibuka “secepat mungkin”, selepas mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin parti politik kerajaan dan pembangkang.

Tiada ulasan: