Sabtu, 10 Julai 2021

Persatuan Anak Raub tolak pelantikan Chong Sin Woon untuk selesai isu kebun haram

C1A9BA46-62F8-4B40-AFA7-50573697768E

KUALA LUMPUR – Persatuan Anak Raub menolak sekeras-kerasnya pelantikan Chong Sin Woon yang dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas MCA mengenai isu tanah haram musang king.

Hal ini jelas kerana tindakan-tindakan yang dibuat oleh Sin Woon sebelum ini dilihat lebih menyebelahi pekebun haram musang king.

Sin Woon juga didakwa gagal untuk menghasilkan apa-apa perancangan atau tindakan selepas MCA menubuhkan Jawatankuasa Khas juga mengenai tanah haram musang king pada Ogos tahun lepas.

Setiausaha Agung, Persatuan Anak Raub (PAR), Ahmad Ashraf Abd. Aziz berkata, malahan terdapat sumber yang boleh dipercayai mengatakan,Sin Woon telah mengadakan pertemuan dengan pekebun-pekebun durian haram dan dilihat terlalu mesra dengan mereka.

Sin Woon juga didakwa komited mahu membantu pekebun-pekebun haram ini, memandangkan kumpulan ini akan menyokong penuh Sin Woon sebagai calon Parlimen Raub pada PRU 15.

Justeru Persatuan Anak Raub berpendapat pelantikan Sin Woon bukan sahaja tidak dapat mendatangkan apa-apa hasil yang positif, malah merasakan ia hanya satu gerakan bermotif politik dan mempunyai niat-niat yang lain.

Selain itu, PAR turut mendakwa Sin Woon juga tidak arif mengenai undang-undang tanah atau kanun tanah negara dan bukan orang tempatan yang faham isu dan sejarah industri durian di Raub.

Persatuan Anak Raub akan terus merungkai gerakan-gerakan bawah tanah yang dikaitkan dengan kartel musang king, Chong Sin Woon (MCA) dan Tengku Zulpuri (DAP).

PAR menyambut baik hasrat MCA untuk membantu, namun biarlah orang yang dilantik benar-benar layak dan bukannya politik semata-mata. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: