Sabtu, 17 Julai 2021

Penghantar barang, makanan kini dilindungi Perkeso bawah program MOF


Penghantar barangan dan makanan Grab Malaysia serta Foodpanda sudah mencarum dengan Perkeso.

Penghantar barangan dan makanan kini dilindungi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menerusi inisiatif program SPS Lindung yang diumumkan Kementerian Kewangan, ia akan memberi manfaat bantuan pembiayaan penuh caruman sebanyak RM232.80 setahun.

Lebih 145,000 penghantar barangan dan makanan Grab Malaysia dan Foodpanda sudah mendaftarkan hampir kesemua rakan penghantar mereka di bawah program SPS Lindung, kata Perkeso.

“Kerjasama strategik antara Perkeso dan platform penyedia perkhidmatan ini merupakan satu lagi pendekatan proaktif dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk memperluaskan jaringan keselamatan sosial kepada Orang Bekerja Sendiri (OBS) termasuk rakan penghantar.

“Kerajaan melalui SPS Lindung menyediakan bantuan berbentuk pembiayaan penuh caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) di bawah Pelan 2 iaitu sebanyak RM232.80 untuk tempoh perlindungan selama setahun.

“Selaku peneraju dalam kalangan 133 platform penyedia perkhidmatan di Malaysia, Grab Malaysia dan Foodpanda merupakan dua platform pertama yang tampil menyahut seruan tersebut dan hasilnya, rakan penghantar mereka kini dilindungi Skim Bencana Pekerjaan di bawah SKSPS,” kata Perkeso dalam satu kenyataan hari ini.

Program SPS Lindung diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November tahun lepas sebagai pakej perlindungan Perkeso kepada mereka yang bekerja sendiri.

Program itu merupakan penambahbaikan kepada program PenjanaGig yang diperkenalkan sejak 15 Jun 2020 dengan beberapa manfaat perlindungan keselamatan sosial.

Antaranya faedah perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, orang tanggungan, pengurusan mayat, elaun layanan sentiasa, faedah pinjaman pendidikan dan kemudahan pemulihan jasmani dan serta vokasional.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Datuk Aziz Mohammed dalam kenyataan sama berkata menzahirkan penghargaan atas keprihatinan dan rasa tangggungjawab kedua-dua peneraju utama platform penyedia perkhidmatan itu.

Menurutnya, komitmen dan teladan dalam memberikan perlindungan sosial akan membangkitkan semangat rakan penghantar untuk meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Lebih daripada itu, akan mendorong platform penyedia perkhidmatan yang lain untuk mencontohi mereka.

“Saya menyeru semua platform penyedia perkhidmatan untuk turut mengikuti jejak langkah Grab Malaysia dan Foodpanda dalam menzahirkan keprihatinan mereka terhadap rakan penghantar.

“Seterusnya menyokong usaha kerajaan dengan memastikan rakan penghantar mereka didaftar, dicarum dan dilindungi,” kata beliau.

Tiada ulasan: