Jumaat, 23 Julai 2021

Penerbit filem 'Babi' didakwa di mahkamah

Penerbit filem 'Babi' yang mencetuskan kontroversi pada tahun lalu dihadapkan ke mahkamah majistret hari ini berhubung penerbitan filem berkenaan.

Toh Han Boon bagaimanapun mengaku tidak bersalah di mahkamah majistret atas tuduhan menerbitkan filem itu dan mempromosikannya melalui poster filem, tanpa lesen yang sah dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).

Ketika dihubungi hari ini, peguam bela kepada penerbit filem berusia 35 tahun itu, Haijan Omar berkata, anak guamnya didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan PJU 7 / 8B Mutiara Damansara, Petaling Jaya, Selangor, sekitar jam 6 petang pada 18 November tahun lalu.

"Tarikh berikutnya (untuk sebutan kes) adalah pada 14 Oktober untuk (penyerahan) dokumen," kata Haijan.

Menurut salinan kertas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol hari ini, Toh meminta dibicarakan atas tuduhan di bawah Seksyen 22 (1) Akta Finas.

Kertas pertuduhan itu menyatakan bahawa mengikut Seksyen 25 Akta terbabit jika sabit kesalahan boleh didenda hingga RM50,000, penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya.

Haijan menjelaskan bahawa semasa prosiding hari ini, timbalan pendakwa raya (DPP) Zamriah Zarifah Aris memohon mahkamah menetapkan ikat jamin sebanyak RM8,000.

Peguam itu berkata DPP juga meminta mengenakan syarat jaminan tambahan, iaitu untuk tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri kepada balai polis terdekat sebulan sekali.

Haijan menambah, dia membantah syarat jaminan tambahan itu dengan alasan perkara itu tidak munasabah memandangkan jenis kesalahan yang didakwa dilakukan anak guamnya.

Unsur perkauman

Pada 11 Disember tahun lalu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) membuat laporan polis terhadap filem tersebut, dengan mendakwa ia mengandungi unsur-unsur perkauman yang menjejaskan imej Malaysia.

Pada 13 Disember, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) meminta Seniman mengemukakan aduan bagi membolehkan penilaian dibuat terhadap kandungan filem tersebut.

Dilaporkan filem itu memaparkan dakwaan keganasan di sekolah menengah di sebuah bandar kecil di selatan Malaysia, pada tahun 2000.

Meskipun diharamkan di Malaysia, filem ini mendapat pencalonan untuk anugerah antarabangsa, antaranya dari International Thai Film Festival 2020, Around International Film Festival di Berlin untuk kategori filem cereka terbaik, dan Lagu Filem terbaik di Taipei Golden Horse Film Festival 2020.

Mendapat sentuhan sulung Wee Meng Chee atau Namewee, filem ini juga  menerima dua pencalonan di Open World Toronto Film Festival untuk kategori Pelakon Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Sementara itu, melalui catatan Facebook yang dimuat naik petang ini, Namewee memaklumkan yang Toh telah dibebaskan setelah membayar wang jaminan.

Melalui catatan tersebut, dia berharap kes itu mendapat perbicaraan yang adil, memandangkan perkara itu melibatkan pembuat filem dan tidak berniat jahat.

Tiada ulasan: