Selasa, 6 Julai 2021

Penduduk resah etnik Rohingya kian ramai di Gertak Sanggul

BAYAN LEPAS: Peningkatan jumlah penduduk etnik Rohingya di sekitar Gertak Sanggul, di sini, semakin membimbangkan warga tempatan berikutan timbul pelbagai isu berkait golongan itu, termasuk didakwa melanggar batas agama.

Difahamkan, kebanyakan mereka disyaki bekerja sebagai nelayan tanpa permit sah, selain tinggal menyewa di unit pangsapuri atau rumah di lokasi terbabit.

Penduduk tempatan, Mat Yassin Ahmad, 50, mendakwa senario itu bermula lebih 10 tahun lalu dengan kedatangan hanya lima keluarga etnik terbabit, namun jumlah komuniti berkenaan kini sudah mencecah kira-kira 800 orang.

Malah, beliau berkata, ia menyebabkan kawasan itu turut diberi jolokan 'Bukit Malut kedua' dalam kalangan penduduk setempat.

"Golongan itu mendakwa datang dari Pulau Dua, Myanmar, berhampiran Kedah, serta Bukit Malut di Langkawi, dengan menaiki bot membabitkan dua jam perjalanan.

"Rutin harian mereka ialah turun ke laut, selain ada yang berniaga, dan dilihat tidak pernah keluar dari kawasan ini," katanya ketika ditemui, di sini.

Mat Yassin memaklumkan bahawa selain perbezaan budaya, timbul pelbagai isu lain berkait golongan itu, termasuk perkara didakwa melanggar batas agama.

Sebagai contoh, beliau mendakwa, tiga keluarga menyewa unit kediaman sama yang mempunyai tiga bilik, manakala ada lelaki dan perempuan bujang tinggal bersama di sebuah rumah.

"Anak kecil pula dibiarkan berkeliaran, termasuk pada waktu malam, dan paling menakutkan ialah ada dalam kalangan mereka dipercayai terbabit penyalahgunaan dadah.

"Selain itu, golongan berkenaan melaksanakan aktiviti seperti ibadah korban dan akikah sesama mereka saja dan tidak bergaul dengan kariah setempat," katanya.

Seorang lagi penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Izan, 40, memaklumkan bahawa kariah masjid di kawasan terbabit sudah dua kali mengusulkan bantahan kepada pihak berwajib, termasuk Jabatan Perikanan negeri, berhubung perkara itu.

Beliau mendakwa, bilangan sampan mencecah 60 buah kini menunjukkan jumlah penduduk etnik itu kian ramai dengan mempunyai 'penghulu' sendiri, selain bersikap mengabaikan kebersihan di kawasan pantai.

"Mereka dipercayai tidak tahu membaca atau menulis, malah jalan di luar kawasan Gertak Sanggul pun tidak tahu. Justeru timbul persoalan, bagaimana mereka didakwa mendapat MyKad dan sijil kelahiran?

"Bukan kami menghalang mereka mencari rezeki di sini, namun biarlah dengan cara yang betul dan mengikut undang-undang," katanya.

Justeru, penduduk tempatan menggesa pihak berwajib segera mengambil tindakan sebelum masalah terbabit menjadi parah.

Sementara itu, hasil tinjauan mendapati kebanyakan etnik Rohingya terbabit bekerja sebagai nelayan dengan turun ke laut pada waktu tengah hari sebelum pulang kira-kira jam 6 petang.

Selain itu, ada dalam kalangan mereka dilihat duduk bersembang di tepi laut, manakala sebahagian lagi membuka meja jualan, termasuk makanan ringan.

Kawasan pendaratan ikan juga dicemari sampah sarap, manakala kehadiran nelayan etnik Rohingya itu dikatakan dapat dikesan berdasarkan susunan bot yang tidak teratur.

Tiada ulasan: