BUKIT GANTANG: Penduduk di sini memilih untuk tidak mengibarkan bendera putih sebagai isyarat memerlukan bantuan akibat kesusahan hidup sebaliknya mengadu terus masalah yang dialami kepada ketua kampung dan pejabat penghulu.
Penduduk tersebut, Rosmunah Hamdan, 54, mengalami kesusahan hidup berikutan anak, menantu dan cucunya hilang pendapatan apabila tidak dapat memasarkan produk ikan masin yang mereka usahakan disebabkan tidak mempunyai surat kebenaran rentas negeri.
Katanya, berikutan itu, dia mengadukan kesusahan hidup yang dialaminya kepada Pejabat Penghulu Mukim Bukit Gantang di sini.
“Saya ada dengar orang kata kalau terputus bekalan makanan di rumah semasa PKP ini, kibarlah bendera putih sebagai isyarat.
“Tapi saya mengambil pendekatan lain dengan mengadukan terus masalah saya kepada ketua kampung dan pejabat penghulu di sini dan saya bersyukur kerana akhirnya saya dibantu,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menerima kotak makanan sumbangan Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal di sini semalam.
Sementara itu, Penghulu Mukim Bukit Gantang, Mustapa Kamal berkata, dia mengambil inisiatif turun padang dengan bermotosikal masuk ke 10 buah kampung induk di bawah mukimnya.
Katanya, dia berbuat demikian bagi bertanyakan sendiri kepada penduduk kampung tentang masalah yang dihadapi mereka semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 .
Katanya, cara itu dapat memastikan tiada penduduk di mukim ini yang menaikkan bendera putih kerana ia memberi implikasi besar pada pemimpin setempat.
“Sehingga hari ini, tidak ada penduduk di mukim ini yang menaikkan bendera putih.
“Hampir setiap orang yang ditemui menyatakan mereka terus memaklumkan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) atau wakilnya jika terputus bekalan makanan atau menghadapi sebarang masalah semasa PKP-3.0 ini” katanya. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan