
KUALA LUMPUR: Seorang pemandu perkhidmatan e-panggilan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membuat penghantaran komunikasi jelik membabitkan sebuah parti politik dan seorang pegawai khas kepada perdana menteri melalui akaun Facebook miliknya, Oktober tahun lepas.
Mahadi Mahbol, 36, didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran satu komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui aplikasi Facebook menggunakan laman profil “Mahadi Bin Mahbol” pada 2.10 petang, 15 Okt 2020.
Pautan itu kemudian dibaca di Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Menteri, Putrajaya, pada 5 petang, tarikh sama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi
dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama
yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara hingga
setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000
bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan, jika
sabit kesalahan.
Hakim M M Edwin Paramjothy membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Ogos ini untuk sebutan semula kes.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan