Isnin, 5 Julai 2021

Op Ketuk kesan penduduk enggan disaring COVID-19

Setakat ini, baki penghuni di 3,371 unit kediaman dari tujuh blok di kawasan berkenaan sudah memberikan kerjasama untuk proses saringan dan dijangka menerima vaksin dalam masa terdekat bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata petugas kesihatan di kawasan berkenaan dengan dibantu pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan melawat dari rumah ke rumah bagi memastikan semua penghuni menjalani ujian saringan sebagai langkah membendung penularan jangkitan di kawasan perumahan itu.

"Kita akan pergi cari bagi memastikan mereka menjalani ujian saringan kerana sebelum ini, apabila kita periksa ada antara penghuni dalam rumah tidak bekerjasama, menyebabkan berlaku jangkitan COVID-19.

"Sehingga kini, penghuni di 98 unit kediaman ini juga langsung tidak memberikan sebarang maklum balas sehingga menyukarkan saringan dan hasrat memastikan penularan COVID-19 diputuskan," katanya pada sidang media selepas melawat kawasan perumahan Mentari Court, hari ini.

PKPD di Mentari Court dilaksanakan bermula 1 Julai hingga 14 Julai ini selepas kawasan berkenaan mencatatkan jumlah positif yang membimbangkan dan kawasan ini juga dijadikan perintis bagi lokasi pertama PKPD di Selangor yang menjadi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terhadap semua penduduk didapati negatif dalam ujian saringan.

Amirudin berkata, penduduk dewasa yang disahkan negatif dalam ujian saringan COVID-19 akan menerima suntikan vaksin jenis Pfizer bermula hari ini.

"Kita juga turut menyampaikan bantuan 3,500 bakul makanan kepada 17,000 penduduk di kawasan ini sejak Khamis lalu melalui Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), selain sumbangan barangan basah daripada Ahli Parlimen Petaling, Maria Chin Abdullah.

"Kerajaan Selangor juga sedia memberikan bantuan jika ada keperluan daripada penduduk di kawasan ini," katanya.

Tiada ulasan: