Susulan laporan keadaan membimbangkan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini turun ke lapangan bagi memantau situasi yang didakwa semakin parah dan mengarahkan tindakan segera diambil bagi menangani kesulitan yang sedang dihadapi.
Perdana Menteri bertemu dengan pihak pengurusan tertinggi HTAR di Klang dan mengarahkan tindakan segera diambil khususnya dalam menambah bilangan katil di wad rawatan Covid-19 dan menambah ventilator untuk kegunaan pihak hospital.
“Alhamdulillah saya dimaklumkan bahawa arahan penambahan segera ventilator bagi kegunaan HTAR telah diselesaikan dan dihantar ke hospital ini susulan peningkatan bilangan pesakit Covid-19 di Klang kebelakangan ini.
“Pihak hospital juga memaklumkan kapasiti katil rawatan bagi wad COVID-19 Unit Rawatan Rapi (ICU) juga akan ditingkatkan dalam waktu terdekat selain inisiatif menjadikan asrama doktor pelatih serta Kompleks Rawatan Harian HTAR sebagai wad sementara bagi merawat pesakit tersebut. Langkah segera ini adalah tepat dan amat diperlukan dalam usaha kita memberikan perkhidmatan dan rawatan terbaik kepada pesakit dan masyarakat,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Beliau juga memandang serius situasi jangkitan Covid-19 di Lembah Klang yang mendadak dan mengumumkan pembelian vaksin tambahan yang akan disalur kepada tiga buah negeri sebagai langkah segera untuk mengurangkan kes jangkitan virus tersebut.
“Bagi mempercepatkan peralihan fasa dalam PPN (Pelan Pemulihan Negara), khususnya di kawasan berisiko tinggi seperti Lembah Klang, Kerajaan juga akan membeli vaksin tambahan sebanyak dua juta dos dan mengagihkan kepada Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan bermula hujung bulan ini.
“Ini merupakan komitmen Kerajaan dalam memastikan peningkatan kes negeri dengan kadar jangkitan tertinggi ini dapat ditangani dalam kadar segera,” katanya lagi.
Menurutnya lagi, sasaran kerajaan untuk tahap imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini berada di landasan yang tepat selepas kadar vaksinasi yang semakin tinggi dikalangan orang ramai.
“Saya turut berkongsi keyakinan bahawa usaha Kerajaan mencapai tahap imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini berada pada landasan tepat apabila kadar vaksinasi negara terus mencatatkan peningkatan di mana semalam lebih 420,000 dos sehari berjaya diberikan,” ujarnya lagi.
Penghargaan juga dizahirkan Muhyiddin kepada petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus setiap hari melawan Covid-19 dan mengucapkan terima kasih atas jasa pengorbanan mereka.
“Saya secara peribadi menzahirkan penghargaan dan berterima kasih kepada mereka, tidak terkecuali kepada semua barisan hadapan lain yang terus cekal memberikan perkhidmatan sejak pandemik ini melanda negara lebih setahun lalu. Terima kasih. Jasa, sumbangan dan pengorbanan anda tidak ternilai harganya.
“Saya mendoakan semua petugas barisan hadapan diberikan kesihatan dan kekuatan dalam meneruskan amanah ini. Amin,” katanya lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan