KUALA LUMPUR : Pelawak dan penyanyi, Danial Zaini, 28, mengaku tidak mampu untuk hanya membatukan diri di saat ramai menghantar mesej peribadi kepadanya meminta bantuan makanan gara-gara terjejas dengan situasi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kini.
Menurut Danial, hatinya luluh di saat mengetahui terlalu ramai yang terpaksa mengikat perut dan berada dalam kedaifan lantaran tidak mampu untuk bekerja atau sukar mendapatkan pertolongan.
“Bayangkanlah perasaan saya, nak makan pun rasa tak lalu bila setiap hari ada yang mesej minta tolong mereka terputus bekalan makanan, hidup susah dalam keadaan sekarang ini yang bukannya satu perkara rekaan.
“Ada keluarga terpaksa belah empat satu paket mi segera, si bapa hirup kuah saja dan mi diberi pada anak-anak untuk dimakan. Ada yang lampin pakai buang bayi itu dicuci dan dipakai berkali-kali. Tuala wanita pun sama bahkan ada yang tak pakai pun.
“Semuanya kerana tak ada duit, tak ada kerja dan ada juga yang langsung tak dapat bantuan. Tergamakkah saya untuk duduk diam sahaja dan tak ambil tahu bila mereka minta tolong?”katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi hari ini.
Menurut Danial lagi, berikutan itu sejak sebulan yang lalu dia menyertai Pertubuhan Generasi Muafakat Malaysia demi meneruskan hasrat membantu lebih ramai individu yang terjejas akibat pandemik pada waktu ini.
“Ini bukan kali pertama saya turun padang buat kebajikan. Sebelum PKP pun ada saja, tapi tak diceritakan kepada orang sebab saya tak rasa ia satu keperluan dan bimbang orang fikir nak menunjuk-nunju atau riak.
“Bukan juga untuk publisiti. Dulu saya buat seorang, tapi bila terlalu ramai yang minta tolong, saya perlu bergerak dengan pasukan supaya dapat mencakupi skala bantuan lebih luas terutama di luar bandar,”katanya.
Bagaimanapun, kata Danial, dia melihat terlalu ramai golongan miskin bandar yang terjejas pada waktu ini dan sebolehnya golongan ini dijadikan sasaran utama ketika ini.
“Miskin kampung dengan miskin bandar berbeza. Miskin kampung kalau tak ada duit boleh lagi pergi menjala ikan atau masuk hutan. Di bandar ini kita nak kemana? Menerusi kempen bendera putih sekarang ini pun saya percaya ada yang masih segan dan malu nak beritahu mereka susah.
“Tak semua sanggup nak beritahu mereka sedang susah dan terdesak sedangkan di dapur memang sudah tiada beras atau lauk untuk dimakan. Itu belum lagi bab bil-bil keperluan yang sudah lama tertunggak tidak mampu dijelaskan,”katanya.
Sementara itu, Danial melahirkan rasa syukur kerana banyak pihak membuka mata dan saling membantu mengikut keupayaan masing-masing terutama golongan selebriti dan artis yang sama-sama menggerakkan misi bantuan.
Pun begitu, dia benar-benar berharap agar bantuan berbentuk makanan yang disampaikan tidak dicatu dengan jumlah yang tidak munasabah memandangkan ada pihak sebelum ini yang berbuat demikian.
“Janganlah bagi tiga biji telur, beras yang dicatu dalam plastik, mi segera tiga bungkus sedangkan penerima bantuan keluarganya ramai. Satu lagi, jangan buat demi kandungan media sosial.
“Buat mereka yang perlukan bantuan, jangan segan mesej saya atau di Instagram Pertubuhan Generasi Muafakat Malaysia atau hubungi talian 010-6536464. Mungkin kami tak dapat banu semua, tapi kami cuba tolong pada mereka yang benar-benar terjejas,”katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan