Ahad, 11 Julai 2021

Malaysia di landasan tepat capai imuniti kelompok – TPM

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan sidang media ketika meninjau ke kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinci, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

MALAYSIA sedang berada di landasan tepat bagi usaha mencapai imuniti kelompok dalam masa terdekat.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pencapaian ke arah imuniti kelompok sekali gus dapat kembali kepada kehidupan normal seperti sedia kala.

Kata beliau, ia selepas kemajuan kadar vaksinasi harian Malaysia yang telah pun melepasi kadar purata per kapita vaksinasi dunia.

Ismail Sabri malah berkata, vaksinasi harian juga kebelakangan ini secara konsisten mencatat jumlah 250,000 dos suntikan sehari dan disasarkan 300,000 dos suntikan sehari mulai bulan ini.

“Oleh itu, terus tingkatkan kawalan kendiri dengan duduk di rumah dan keluar jika terdapat keperluan.

“Patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi mengurangkan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui Jawatankuasa Teknikal COVID-19 dalam sidang akhbar baru-baru ini telah mengeluarkan analisis dapatan data terkini perkembangan kes seluruh dunia.

Katanya, kadar peningkatan kes jangkitan COVID-19 telah meningkat kepada 16.7 peratus di Afrika manakala 16.4 peratus di kawasan timur Mediterranean.

Menurut beliau, analisis negara-negara di Eropah juga telah merekodkan sebanyak 33 peratus kadar peningkatan jangkitan dan 8.6 peratus di bahagian Asia Tenggara.

“Terdapat beberapa faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan ini antaranya penemuan varian-varian baharu.

“Varian-varian baharu itu mempunyai impak lebih serius ke atas individu serta menular dengan lebih cepat berbanding jangkitan biasa,” jelas beliau.

Tiada ulasan: