Selasa, 20 Julai 2021

Lelaki dakwa disuntik picagari kosong hanya salah faham, kata polis

Polis Kajang berkata, pengadu salah faham dengan menyangka dirinya disuntik 
vaksin kosong, sedangkan beliau sudah diberikan vaksin Sinovac.

PETALING JAYA: Polis berkata, dakwaan seorang lelaki disuntik picagari kosong di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Bangi Avenue (BACC) sebenarnya salah faham.

Ketua Polis Daerah Kajang, Zaid Hassan berkata pengadu itu salah faham dengan menyangka dirinya disuntik vaksin kosong, sedangkan beliau sudah disuntik dengan vaksin Sinovac.

Bagi menafikan dakwaan itu, katanya, PPV di BACC membuat laporan polis pada 18 Julai lalu, tetapi tiada laporan polis dibuat penerima vaksin berkenaan atau mana-mana individu berkaitan dakwaan hampir ditipu ketika menerima vaksin di PPV itu.

“Laporan polis dibuat bagi menafikan satu ciapan di Twitter yang tular berkaitan kenyataan seorang lelaki nyaris disuntik dengan vaksin kosong, ketika pergi mendapatkan suntikan vaksin di sana pada 17 Julai lalu.

“Bagaimanapun, tiada sebarang gambar dan video berkaitan kejadian tersebut ditularkan.

“Siasatan mendapati catatan di ruangan komen Twitter dibuat teman wanita penerima vaksin tersebut yang menyebabkan ianya tular dan mendapat pandangan negatif masyarakat terhadap perkara ini,” katanya dalam kenyataan.

Zaid berkata, petugas PPV berkenaan juga sudah berhubung serta menerangkan secara jelas prosedur pengambilan vaksin kepada lelaki itu dan beliau berpuas hati dengannya.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau menasihatkan orang ramai agar berhati-hati berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti kebenarannya, terutama isu sensitif seperti pemberian vaksin.

“Ini bagi mengelakkan salah tanggapan atau pandangan serong masyarakat serta boleh mendatangkan kegusaran dan mengganggu gugat ketenteraman awam berkaitan isu pemberian vaksin tersebut,” katanya.

Tiada ulasan: