Khamis, 22 Julai 2021

Lekaki bisu antara 3 ditahan buat aksi Superman

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

Antara aksi penunggang motosikal yang dirakam ketika Ops Samseng Jalanan di daerah Kuala Terengganu semalam. - Foto ihsan polis Antara aksi penunggang motosikal yang dirakam ketika Ops Samseng Jalanan di daerah Kuala Terengganu semalam. - Foto ihsan polis

KUALA TERENGGANU: Polis menahan tiga penunggang motosikal termasuk seorang lelaki kurang upaya (OKU) kategori bisu kerana menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya dengan membuat aksi ala 'Superman' di daerah ini.

Lelaki OKU berusia 21 tahun ditahan di kawasan Jambatan Sultan Mahmud manakala dua lagi lelaki berusia 20 dan 21 tahun ditahan di Kampung Paloh, Durian Burung dalam Ops Samseng Jalanan selama dua hari bermula semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu Superintendan Abd Razak Hasan, berkata operasi di sekitar daerah Kuala Terengganu dilakukan Skuad 42 dalam usaha membanteras aktiviti mat rempit di negeri ini.

"Dalam operasi pertama di Kampung Paloh, Durian Burung, polis menahan dua penunggang motosikal yang didapati melakukan aksi berbahaya iaitu 'superman' kira-kira jam 3.30 pagi semalam (Selasa).

"Operasi seterusnya dilakukan di kawasan Jambatan Sultan Mahmud di sini kira-kira jam 2 pagi tadi yang membawa kepada penahanan penunggang OKU yang melakukan aksi berbahaya.

"Kita melakukan operasi di kawasan berkenaan susulan aduan daripada penduduk yang terganggu dengan bunyi bising enjin motosikal yang dipercayai berkumpul di kawasan berkenaan," katanya ketika dihubungi.

Abd Razak berkata, mereka ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan1987 dan menyita sebuah motosikal mengikut Seksyen 64 akta sama.

"Kita masih berperang dengan COVID-19 namun kehadiran mereka ini yang keluar tanpa alasan kukuh seolah-olah tidak mengendahkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

"Justeru, kita harap ibu bapa atau penjaga dapat memantau pergerakan anak-anak masing-masing supaya tidak terjebak dalam kegiatan tidak sihat ini," katanya.

Tiada ulasan: