Rabu, 14 Julai 2021

Lapan pekebun durian beri keterangan kepada SPRM

RAUB: Lapan pekebun memberi keterangan selama enam jam kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu penanaman durian Musang King secara haram di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, di sini, hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui, berkata semua pekebun terbabit hadir di pejabat SPRM Raub bagi memberikan keterangan bermula jam 10 pagi hingga jam 4 petang tadi.

"Tiada pekebun ditahan pihak SPRM setakat ini dan mereka memberikan keterangan serta kerjasama yang baik," katanya di sini, hari ini.

Yu Hui berkata, semua pekebun terbabit turut diwakili peguam dilantik bagi mengendalikan isu berkenaan.

Kira-kira 15,000 pokok durian Musang King yang ditanam secara haram dalam kawasan HSK Batu Talam dimusnahkan dalam masa sembilan hari menerusi Operasi Pamah sejak 3 Julai lalu.

Kini Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memulakan aktiviti menanam pelbagai spesies pokok hutan dianggarkan berjumlah 20,000 pokok bagi menggantikan pokok durian Musang King yang ditebang itu.

Pada hari kedua pelaksanaan Operasi Pamah, berlaku kekecohan berikutan provokasi pekebun yang cuba menghalang kakitangan JPNP menebang pokok durian Musang King yang sedang berbuah, menyebabkan 18 individu dipercayai pekebun ditahan reman kerana memasuki HSK tanpa permit.

Tiada ulasan: