Ahad, 11 Julai 2021

Kerajaan PN masih sah – Takiyuddin

Oleh ROHANA MOHD. NAWI
 
Takiyuddin

KOTA BHARU – Kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) masih lagi sah mengikut perundangan negara meskipun UMNO menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata perkara tersebut telah dinyatakan dengan jelas oleh penasihat undang-undang iaitu Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun sebelum ini.

Katanya, kerajaan sudah memohon pandangan Peguam Negara beberapa hari lalu dan telah memberi pencerahan dari sudut perundangan, bahawa kerajaan yang ada sekarang adalah sah dalam perlembagaan dan undang-undang.

“Jadi, urusan kerajaan berjalan seperti biasa. Saya tidak mahu komen banyak, tetapi kenyataan peguam negara itu jelas bahawa yang menentukan sebuah kerajaan itu adalah ahli-ahli parlimen.

“Setakat ini, kerajaan maklum bahawa tiada seorang pun lagi ahli parlimen yang menarik diri daripada menyokong kerajaan mengikut undang-undang,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan bakul makanan menerusi Pakej Pemulihan Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) di Kampung Tanjung Chat di sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Mas, Rohani Ibrahim.

Sebelum ini, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO secara sebulat suara memberi keputusan untuk tidak menjalankan kerjasama bersama Perdana Menteri. -K! ONLINE

Tiada ulasan: