KLANG: Keputusan sama ada orang awam boleh menunaikan solat sunat Aidiladha di masjid dan surau akan diumumkan esok.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal negeri, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, pihaknya sudah membuat keputusan mengenai perkara tersebut namun enggan mendedahkannya pada hari ini.
“Kita mengambil banyak faktor dan situasi terkini (Selangor) sebelum membuat keputusan ini.
“Namun, kita mungkin kekal dengan keputusan yang dibuat sebelum ini, iaitu orang awam menunaikan solat tersebut di rumah masing-masing,” katanya selepas menghadiri Program Sumbangan Pek Keperluan Dapur untuk warga Taman Sri Andalas di sini semalam.
Minggu lalu, Melaka mengumumkan bahawa penduduknya dibenarkan untuk menunaikan solat sunat Aidiladha dengan meletakkan beberapa kriteria berbeza terhadap masjid serta surau.
Ditanya sama ada ibadah korban akan diteruskan atau tidak di Selangor, menurutnya, kerajaan negeri masih lagi kekal dengan keputusan untuk membenarkan ibadah tersebut dijalankan.
Pengurusan masjid atau surau harus memohon kebenaran daripada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sebelum menjalankan ibadah itu.
“Untuk korban di ladang pula, pihak yang ingin melakukan korban di situ perlu meminta kebenaran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor.
“Sekiranya peserta yang melakukan korban mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah dikeluarkan, insya-Allah saya yakin tidak akan berlaku jangkitan Covid-19 di antara mereka,” katanya.
Hari ini, Negeri Sembilan mengumumkan bahawa ibadah korban di negeri tersebut ditangguhkan berikutan kes jangkitan baharu Covid-19 di negeri itu yang masih tinggi. UTUSAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan